Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Friday, August 3, 2007

KSN sedar rupanya

Perdana Menteri Malaysia telah mengarahkan agar semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dikehendaki meletak jawatan daripada persatuan sukan. Di antara alasannya ialah agar mereka ini tidak memegang terlalu banyak tanggungjawab dan oleh itu merasa terbeban.

Tidak lama lagi arahan ini pastinya akan dituruti oleh MB dan Ketua Menteri seperti yang dimahukan oleh penulis di Malaysiakini ini 'Don't Allow MB's to Moonlight'.

Namun sesuatu yang pasti ialah alasan tersirat PM itu yang mahukan agar industri sukan di Malaysia boleh terus dimajukan. Tentulah PM tidak akan menyatakan dengan jelas akan perkara ini bagi menjaga air muka pihak tertentu. Ramai juga yang beranggapan bahawa arahan ini merupakan isyarat akan perlunya meletakkan seseorang yang ahli pada tempatnya.

Isyarat ini secara jelas mahukan pentadbiran sesuatu persatuan itu biarlah diterajui oleh individu-individu yang berkeupayaan. Perkara ini juga merupakan isyarat kepada sektor awam bahawa individu-individu yang berkeupayaan juga perlu diletakkan sesuai pada tempatnya.

Jika mengambil kira nasihat PM ini, amat banyak rombakan perlu dilaksanakan di dalam sektor awam. Sektor awam yang lesu dengan markah C+ daripada World Competitiveness Report, bukan berpunca daripada kakitangan awam yang tidak cekap atau tidak berkemahiran.

Kakitangan awam memang ramai yang cekap, berkeupayaan dan berkemahiran tetapi yang menjadi masalahnya ialah sistem yang tidak kondusif untuk memajukan sektor awam sendiri.

Sistem inilah yang menenggelamkan kakitangan awam yang berkeupayaan dan cemerlang yang sepatutnya ditonjolkan dan diberi ruang yang lebih meluas demi kecemerlangan sektor awam. Tan Sri KSN sendiri semasa berucap ketika menutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran dan Negeri ke-10 telah sedar bahawa sektor awam kekurangan indvidu yang cemerlang.

KSN mengatakan tidak ramai PTD yang baru dilantik merupakan mereka yang cemerlang. Walaubagaimanapun dipercayai KSN hanya melihat kepada skop pegawai PTD sahaja. Sebenarnya telah lama diketahui bahawa pegawai PTD ini tidak memiliki kecemerlangan yang disebutkan oleh KSN itu dan tahniah juga diucapkan kepada KSN kerana telah mengakui akan kelemahan ini. Kelemahan ini telah diakui sendiri oleh para fasilitator di PAC dan mungkin mereka telah memanjangkan perkara ini kepada KSN.

Kakitangan yang merupakan pelajar cemerlang sebenarnya wujud dan ramai di dalam sektor awam. Kakitangan ini seperti yang telah dijelaskan tadi telah ditenggelamkan oleh sistem yang sedia ada. KSN perlu dikejutkan dan dimaklumkan akan kelemahan sistem ini juga.

Oleh itu, kita mengalu-alukan akan arahan KSN kepada SPA untuk mengadakan kajian mengapa pelajar cemerlang tidak berminat memasuki sektor awam.

Satu lagi cadangan kepada KSN, lakukanlah kajian menyeluruh dimanakah letaknya bekas pelajar cemerlang yang sedang berkhidmat di dalam sektor awam dan kenalpasti mengapa terjadinya perkara ini.

Semoga sistem akan lebih diperbaiki sementara menantikan kepulangan Nur Amalina Che Bakri berkhidmat di kerajaan.

'Sebelum negara menjadi maju, sektor awam harus maju dahulu'