Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Friday, July 6, 2007

Siri Pemikiran Kritis

Waktu : Pagi

Lokasi : Di pinggir ibu kota

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada anda semua kerana berjaya sampai ke tahap ini. Anda telah dipilih daripada puluhan ribu pemohon yang ada di negara ini.”

“Untuk makluman anda semua, jawatan ini merupakan jawatan yang penting dan utama di dalam sektor awam. Oleh itu, calon-calonnya perlu disaring dengan lebih ketat untuk mendapatkan calon-calon yang terbaik di negara ini.”

“Anda telah membuktikan bahawa anda merupakan yang terbaik kerana anda terpilih daripada berpuluh ribu pemohon yang memohon untuk berada di sini. Daripada jumlah tersebut, anda adalah beberapa ratus orang yang berjaya terpilih dan itu seterusnya melayakkan anda menjadi yang terbaik di negara ini. Bayangkan ada berpuluh ribu lagi orang diluar sana yang mencuba berkali-kali untuk sampai di sini tetapi mereka telah gagal.”

“Anda lebih hebat daripada para akauntan, peguam serta saintis kerana permohonan untuk jawatan mereka ini tidak sebanyak permohonan ke jawatan ini. Anda juga lebih hebat daripara pensyarah kerana permohonan untuk pensyarah amat sedikit. Sudahlah sedikit, sentiasa tidak cukup pula.”

“Anda juga harus sedar bahawa anda lebih hebat dari guru. Walaupun permohonan untuk guru adalah berpuluh ribu juga, jawatan mereka juga berpuluh ribu. Bukan macam anda…permohonan berpuluh ribu tetapi yang terpilih hanyalah beberapa ratus orang.”

“Lagi satu fakta yang perlu anda terima ialah anda lebih hebat daripada para doktor. Ini kerana permohonan untuk doktor juga amat sedikit dan sentiasa tidak mencukupi. Doktor juga mudah untuk lulus temuduga dan diterima bekerja. Sudah tentu anda semua tidak sedemikian kerana anda perlu tonjolkan yang terbaik semasa temuduga.”

“Janganlah anda bandingkan kecemerlangan anda semasa SPM atau STPM dulu dengan mereka ini kerana itu tidak releven lagi. Sudah tentu sijil andalah yang lebih cemerlang kerana anda terpilih dikalangan berpuluh ribu pemohon. Jangan juga anda bandingkan keputusan ijazah anda dengan mereka ini, tentu anda tidak mahu mereka membandingkannya dengan keputusan mereka. Lagipun golongan yang ‘cemerlang, gemilang dan terbilang’ sentiasa merendah diri.”

“Oleh itu, memandangkan anda yang terpilih ini adalah daripada permohonan yang mencecah puluhan ribu dan permohonan bidang-bidang lain tidak seramai permohonan jawatan anda, maka anda merupakan yang golongan terpilih yang terbaik.”

“Jika ada dikalangan mereka itu mencabar anda, suruh sahaja mereka memohon ke jawatan ini kerana tentu mereka tidak sehebat anda. Sebab itu mereka tidak memohon ke jawatan yang ‘popular’ ini…lagipun mereka tidak cemerlang dan hebat seperti anda semua.”

“Oh ya, anda juga harus ingat bahawa hanya anda sahaja yang perlu berlari 2.4 km sedangkan mereka semua tidak!”