Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Wednesday, July 4, 2007

Strategi PTD ke JPN

Blog ini telah memaparkan bahawa pelaksanaan ‘peminangan’ PTD ke dalam organisasi JPN telah bermula pada bulan Jun 2007. Perlantikan pegawai-pegawai PTD baru yang telah dibuat awal-awal lagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen golongan ini untuk menyegerakan kemasukan golongan mereka ke JPN walaupun menerima bantahan daripada para guru.

Oleh kerana itu, ada di antara PTD lantikan baru tersebut ditempatkan secara sementara di Kem. Pelajaran dan diberikan ‘latihan’ serta kursus-kursus yang berkaitan agar tidak 'diperlekehkan' oleh para guru kelak.

Mengikut laporan dari media cetak, penempatan PTD di JPN ini telah ditangguhkan bagi gred-gred tertentu. Ini dimaklumkan sendiri oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran setelah mengadakan pertemuan dengan ‘orang kuat’ guru-guru. Penempatan bagi PTD-PTD di gred ‘rendah’ walaubagaimanapun diterima secara berkrompromi oleh pihak guru. Seperti yang dimaklumkan kepada media, prestasi mereka ini akan dinilai terlebih dahulu sebelum keputusan seterusnya akan diambil.

Syabas juga diucapkan kepada para guru kerana di atas kesepakatan mereka, mereka berjaya untuk menghalang ‘konspirasi’ perluasan empayar yang telah menjadi ‘open secret’ di dalam perkhidmatan awam. Kejayaan ini seharusnya menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan lain di dalam perkhidmatan awam.

Sebenarnya terdapat satu lagi kejayaan rentetan daripada peristiwa di atas. Kejayaan kedua ini merupakan kejayaan yang lebih bermakna kerana ia adalah kejayaan pada peringkat pengurusan. Kejayaan ini bukan mudah untuk diperolehi dan amat besar maknanya kepada para guru.

Ini adalah kerana, secara tidak langsung keupayaan dan prestasi PTD di JPN ini akan dinilai sendiri oleh para guru. Para guru akan membuat penilaian samada PTD di JPN ini berhak duduk di JPN atau pun sebaliknya. Penilaian ini tentulah akan berdasarkan kepada faktor prestasi PTD-PTD tersebut semasa berkhidmat di JPN.

Jika penilaian ini adalah berdasarkan kepada prestasi kerja dan merit, kita berharap agar PTD yang wujud dari “Program PTD Borong” dapat berdoa supaya mereka tidak ditempatkan di JPN. Tentunya tidak ada tempat bagi mana-mana pegawai yang tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang untuk berada setaraf dengan para guru di JPN. JPN memerlukan pegawai yang berkeupayaan dan kompeten untuk meneruskan pencapaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang baru sahaja dilancarkan.

PIPP ini pula perlu dibentangkan ‘Kad Laporan’ bagi setiap 6 bulan. Jika ada pegawai yang berkhidmat di JPN ini sekejap ada, sekejap kursus, sekejap INTAN, sekejap bertukar, kita merasa khuatir akan kejayaan PIPP ini.

Umum mengetahui bahawa PTD-PTD yang baru dilantik itu akan ‘menghilangkan’ diri dari pejabat selama 6 bulan. Selama tempoh ini urusan-urusan pejabat akan terganggu. Kehilangan ini merupakan sesuatu yang diwajibkan. Kemudian selepas tamat tempoh tersebut, ada kemungkinan berlakunya pertukaran dikalangan mereka. Seterusnya jika ada proses ‘pemborongan’ lagi, maka berlakulah lagi pertukaran pegawai yang bakal menganggu proses kelicingan operasi di JPN seperti mana yang berlaku di jabatan-jabatan lain.

Ada juga pihak yang mengatakan bahawa permohonan jawatan adalah daripada Jabatan sendiri dan JPA hanyalah meluluskannya. Oleh itu kenyataan ini akan menunjukkan bahawa Jabatanlah yang memohon jawatan-jawatan tersebut dan bukannya ‘teori monopoli’ seperti yang diperkatakan itu. Kenyataan sebegini ini sebenarnya kurang tepat.

Ini kerana permohonan daripada Jabatan ini akan dimajukan ke peringkat Kementerian. Di sinilah ‘teori monopoli’ akan diselitkan ke dalam permohonan tersebut. Mana-mana ruang yang dirasakan boleh menambahkan lagi jawatan golongan mereka, akan dipergunakan. Oleh itulah wujud saranan daripada pihak JPA agar setiap Kementerian mewujudkan ‘mini JPA’ yang merupakan satu kaedah ‘seni halus’ bagi menghalalkan strategi ini. Kemudian 'tapisan' peringkat kedua pula akan berlangsung di JPA. Semua sedia maklum akan perkara ini.

Untuk rekod, pada tahun 2002, jumlah jawatan PTD adalah sebanyak 3700 jawatan dan sehingga Jun 2006 jumlah jawatan PTD adalah sebanyak 6822 jawatan. Ini menunjukkan peningkatan jawatan PTD dalam tempoh 4 tahun sahaja adalah sebanyak 85% sedangkan peningkatan jawatan sektor awam dari tahun 2002 hingga Jun 2006 hanyalah 5.2% peratus sahaja.

Strategi monopoli ini telah menunjukkan hasil yang membanggakan kepada golongan tersebut. Strategi ini telah berjaya meningkatkan jawatan-jawatan mereka sebanyak 85% dalam masa 4 tahun sahaja sedangkan perjawatan sektor awam hanya berkembang sebanyak 5.2% dalam tempoh tersebut.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada sektor awam kelak?