Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Sunday, June 24, 2007

Program PTD Borong

Kenaikan pangkat merupakan satu pengiktirafan daripada sesuatu organisasi kepada pekerja-pekerjanya yang mempamerkan mutu kerja yang cemerlang, berdedikasi, berkeupayaan, berpotensi serta berdaya maju untuk diberikan tanggungjawab yang lebih luas skopnya. Kenaikan pangkat sebegini sudah tentunya adalah mengikut merit di mana kemampuan sesorang kakitangan tersebut akan dinilai terlebih dahulu bagi memenuhi faktor-faktor seperti di atas sebelum dinaikkan pangkat.

Perkara ini yang merupakan 'silibus' asas di dalam pengurusan sumber manusia hanya dipraktikkan di dalam pekeliling dan diwar-warkan semasa ditemubual oleh media sahaja. Telah berulang kali kita didengarkan bahawa faktor prestasi dan keupayaan pegawai serta merit akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Ini juga ada disebut semasa kursus induksi atau apa sahaja kursus yang ada hubung kait dengan sumber manusia dan kenaikan pangkat.

JPA merupakan agensi pusat bagi hal ehwal yang berkaitan dengan urusan sumber manusia sektor awam. JPA jugalah yang akan mengeluarkan pekeiling perkhidmatan awam untuk semua agensi awam lain di mana agensi awam lain harus 'akur' kepada pekeliling tersebut walaupun sebilangan pekeliling bertaraf 'pincang' yang menunjukkan faktor tergesa-gesa dan keputusan pembuat dasar yang kurang bijak. Sudahlah begitu, tidak mahu merujuk pula dengan pihak-pihak berkenaan.

Jika JPA sebagai agensi yang kononnya pakar di dalam menggubal dasar sumber manusia sektor awam sendiri tidak menunjukkan sokongan kepada faktor merit ini bagaimanakah perkhidmatan awam ini akan diterajui oleh mereka-mereka yang berkeupayaan tinggi serta berkebolehan?

Program kenaikan pangkat 'borong separa masak' memang dipraktikkan oleh JPA terutamanya bagi golongan M (baca : PTD). Kenaikan pangkat secara borong ini rasanya tidak berlaku di mana-mana tempat lain di dunia dan mungkin hanya di Malaysia sahajalah berlaku sedemikian. Persoalannya mengapa ini berlaku? Jawapannya adalah mudah... ini kerana pembuat keputusan dasar di JPA memerlukan kelangsungan monopoli mereka, selagi ada jawatan yang wujud untuk golongan M ini, selagi itulah akan diisi. Jika jawatan tidak ada, maka menyelongkarlah segala jabatan dan agensi untuk diwujudkan jawatan bagi golongan M ini.

Percayalah, jika benar mutu perkhidmatan awam yang menjadi misi dan visi mereka, sudah tentu mereka tidak perlu berebut-rebut untuk masuk ke JPN atau Pejabat Kesihatan Negeri serta bidang-bidang lain yang tidak relevan. Jika benar bukan jawatan yang diidam oleh PTD, mengapakah jawatan yang bertaraf 'terbuka' di setiap kementerian dan jabatan seolah-olah menjadi jawatan 'khas' untuk PTD?

Sudahlah tiada kepakaran, ingin pula menduduki kerusi tersebut sehingga sanggup merosakkan kualiti perkhidmatan awam. Jika tidak tamakkan jawatan, mengapa di dalam senarai pendek untuk jawatan Ketua Pengarah BPR pun boleh pula terselit nama PTD? Ini lagi satu contoh meletakkan 'barang lusuh bukan pada tempatnya'.

Oleh kerana mahu memastikan misi monopoli tercapai, kakitangan golongan M semestinya beruntung kerana berjaya dipilih bagi program naik pangkat 'borong separa masak'. Bagi mereka yang masih tertanya-tanya program ini, jika anda bukan dikalangan mereka.. anda harus menjadi penontonnya sahaja.

Naik pangkat 'borong separa masak' ini merupakan program baru yang diperkenalkan pada hujung tahun 2006 yang lalu. Kebiasaannya naik pangkat secara 'borong' memang dipraktikkan oleh golongan M ini. Untuk makluman, kenaikan pangkat PTD sejak akhir-akhir ini, bukannya berdasarkan merit, keupayaan, potensi dan lain-lain faktor yang sepatutnya.

Kenaikan pangkat PTD ialah berdasarkan faktor tahun kemasukan. (Inilah realitinya). Contohnya boleh dilihat bagi PTD kemasukan (sebutan bagi PTD ialah batch) 2004, tahun 2007 telah mendapat kenaikan pangkat ke gred 44. Ini yang dikatakan 'separa masak'. Tiada faktor merit....inilah yang diterapkan oleh JPA bagi golongan Mereka.

Bagi PTD kemasukan tahun 2002 pula, gred 48 menjadi milik mereka pada tahun 2006. Tidak perlu faktor produktiviti mahupun merit. Inilah hasil pengurusan 'bijak' sektor awam. Oh ya....tentulah demi kelangsungan monopoli mereka. Maka berbanggalah PTD separa masak ini dengan hadiah yang diterima. Biarlah umur baru menjenguk lewat 20an, aku telah layak rupanya untuk jawatan 48 ini..

Dengan cara ini tentunya JPA percaya kualiti sektor awam akan lebih baik, 'ranking' dalam 'World Competitiveness Report' akan bertambah meningkat, 'ranking' laporan UNDP juga akan semakin mantap dan macam-macam lagi alasan untuk 'menghalalkan' tindakan mereka.

Setelah sedar bahawa tindakan JPA itu bakal 'melemahkan' sektor awam, maka langkah-langkah jangka pendek pun diambil. Buatlah sesi taklimat mahupun BTN atau apa sahaja untuk mereka ini, kerosakan telah berlaku. Kepincangan dalam sektor awam bakal dilihat tidak lama lagi. Jika kenaikan pangkat bersandarkan 'borong' usah difikirkan untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sektor awam telah kehilangan sesuatu yang baru... Penghormatan!