Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Wednesday, May 30, 2007

PTD akhirnya masuk JPN

Walaupun menerima tentangan daripada para pendidik, nampaknya semua itu tidak dipedulikan. Membujur lalu, melintang patah... empayar perlu diluaskan. Biarlah apa yang orang lain kata, bebanan perlu dipikul demi kelangsungan 'PTD Unggul'.

Baru-baru ini atas desakan para pendidik, penempatan PTD di JPN telah ditangguhkan. Mungkin masih terdapat ruang untuk perbincangan supaya segalanya berjalan lancar demi mencapai matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Tidak dapat dipastikan apakah kesudahannya disebalik penangguhan tersebut atau ia sebagai strategi untuk menyejukkan keadaan.

Bermula bulan Jun 2007 akan berbondong-bondonglah para PTD melaporkan diri di JPN-JPN terpilih. Maka bersedialah JPN-JPN tersebut untuk menyambut 'rakan sekerja' mereka yang baru.

Seolah-olah tiada penghormatan bagi mempertimbangkan pandangan para guru jika usaha ini masih diteruskan seperti asal. Pihak Kementerian bagaikan tidak mempedulikan teguran yang telah disuarakan oleh para guru melalui saluran yang betul. Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah memberikan beberapa elaun baru kepada para guru, jawatan baru dan penubuhan Yayasan Tun Hussein Onn demi memartabatkan profesion perguruan.

Profesion perguruan bukan sekadar perkara yang di atas tadi, profesion perguruan termasuk juga pengurusan dasar dan polisi pendidikan samada di Kementerian,Jabatan serta Jabatan Pendidikan Negeri. Inilah intipati yang tersirat yang kurang difahami (atau buat-buat tak faham) oleh PTD dan pihak Kementerian. Namun begitu agenda tersirat PTD telah dapat dihidu oleh para pendidik. Agenda tersirat ini juga telah dihidu oleh sebahagian besar kakitangan awam yang lain.

Semoga para pendidik akan terus tabah menghadapi cabaran dalaman yang lebih besar ini. Profesion perguruan perlu diperkasa dan dipertahan. Selamat berjuang para guruku.