Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Tuesday, April 10, 2007

PEGAWAI PTD NAIK PANGKAT TANPA MERIT, PEGAWAI BUKAN PTD DINAFIKAN PELUANG KENAIKAN PANGKAT.

Surat ini dicopy daripada website Dato' Shahrir Samad:

http://www3.uitm.edu.my/mitasa/ptd/pegawai%20ptd%20naik%20pangkat%20tanpa%20merit.htm




Y.B. Dato’ Shahrir Samad,
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara,
Mantan Pengerusi BBC,
Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

PEGAWAI PTD NAIK PANGKAT TANPA MERIT, PEGAWAI BUKAN PTD DINAFIKAN PELUANG KENAIKAN PANGKAT.

Saya mungkin mewakili pegawai Perkhidmatan Awam dari skim perkhidmatan bukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ingin memaklumkan suatu fenomena sedih yang telah melanda profesion Perkhidmatan Awam kini iaitu berlaku pengisian jawatan dan kenaikan pangkat sewenang-wenangnya dalam perkhidmatan PTD tanpa mengira merit dan kelayakan. Ini sangat bercanggah dan membelakangkan semangat profesionalisme perkhidmatan awam.

Ini dikatakan berlaku berikutan dengan penyusunan semula struktur organisasi agensi-agensi kerajaan di bawah SSB dan kemudian SSM. Alasan pihak berkenaan ialah disebabkan tidak cukup pegawai untuk mengisi kekosongan jawatan Gred M44 dan Gred M48 mahupun M52 bagi perkhidmatan PTD di seluruh kementerian dan agensi-agensi Kerajaan seluruh negara. Berikutan itu maka ramai pegawai baru “setahun jagung” dan “Green Horn” Gred M41 dan termasuk yang belum disahkan dalam jawatanpun dilantik naik pangkat ke gred-gred tersebut, Walaupun kebanyakan KSU dan ketua jabatan meragui keupayaan pegawai tersebut mengendalikan tugas dan tanggungjawabnya di tahap jawatan itu.

Maka sungguh beruntung dan bertuah pegawai tersebut. Sungguh rugi dan menyesal kami yang bukan dalam skim perkhidmatan PTD. Kita lihat ramai rakan-rakan yang telah berkhidmat lebih 10 tahun malah 20 tahun, dengan penuh dedikasi dan cemerlang dalam perkhidmatan bukan PTD masih berada di takuk gred 41 sehingga hari ini dan sehingga ramai yang telah pencenpun. Kami rasa dianaktirikan oleh Kerajaan.

Tempoh 10 tahun adalah merupakan jangkamasa yang munasabah untuk seseorang anggota dilantik kerana telah mendapatkan kemahiran/latihan dan pengalaman yang mencukupi yang diperlukan bagi sesuatu jawatan sudah sewajarnya dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Sekadar sebagai contoh, ramai ustaz Pegawai Agama Islam gred S41 - tetap “sabar” dan giat berdakwah pada gred yang sama hingga pencen; Pegawai Belia dan Sukan - walaupun ramai melahirkan jaguh sukan dan belia berketrampilan; Pegawai Penerangan - giat berkempen mempertahankan dasar Kerajaan dan pemerintahan yang ada, masa pilihan raya merekalah jaguh di barisan hadapan menghadapi pembangkang; Pegawai Pertanian, Pegawai Penyelidik, Pegawai Ekonomi dan sebagainya yang bukan PTD, adakah mereka tidak berjasa kepada negara? Adakah hanya PTD sahaja yang telah memajukan Malaysia ini?

Walaupun ada segelintir kami yang dilantik memangku gred 44 berikutan penyusunan semula organisasi agensi masing-masing, tetapi atas dasar ‘bukan untuk tujuan naik pangkat’. Ada yang dilantik memangku gred 44 ‘bukan untuk tujuan naik pangkat’, diarah menjalankan tugas gred 48 pula. Mengapa tidak terus dilantik sahaja ke jawatan tersebut? Dari segi kelayakan memang mereka lebih daripada layakpun dari segi pengalaman dan profesionalisme berbanding dengan pegawai PTD yang baru berkhidmat.

Bila pelaksanaan SSM dilaksanakan pula, ramai pegawai bukan PTD yang dah tua ini kantol dalam peperiksaan dan kursus PTK untuk syarat naik pangkat. Sedangkan sebelum syarat PTK dikuatkuasakan, ramai PTD telah berjaya diloloskan untuk naik pangkat tanpa menghadapi PTK.

Kelulusan bagi penambahan pegawai dalam penyusunan semula perkhidmatan bukan PTDpun sebenarnya dikawal oleh pihak berkenaan di kalangan PTD sehingga tidak ada ruang mencukupi bagi agensi perkhidmatan lain untuk memohon menambah pegawai walaupun ia amat diperlukan bagi memenuhi kehendak tugas perkhidmatan tersebut. Malah banyak agensi ‘dipaksa’ menerima PTD sebagai Ketua Jabatan kalau inginkan penyusunan semula ‘diperkenankan’.

Kalau benar fenomena ini berlaku dalam Perkhidmatan Awam kita, benarlah apa yang dinyatakan dalam laporan IMP yang berpusat di Geneva yang mengeluarkan ”Annual World Competitiveness Report” yang meletakkan kedudukan Malaysia dari segi kedudukan ekonomi dan daya saing jatuh di tangga tercorot yang amat mengecewakan.

Kami tidak menafikan PTD adalah golongan “elit dan berprestij” dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (itu yang sering dilaung-laungkan) tetapi persoalannya mengapa harus semacam ada perbezaan “antara dua darjat” dalam Perkhidmatan Awam dalam sebuah negara merdeka yang “World Class” ini?

Seandainya benar ini berlaku, kami harap pihak Kerajaan, khususnya Y.A.B. Perdana Menteri sebagai bekas PTD dapat mengkaji perkara ini, suatu fenomena yang tidak berlaku di negara lain di dunia modern bertamadun hari ini. Benar rezeki itu ketentuan Tuhan, tetapi banyak kerosakan yang berlaku di dunia adalah akibat serakah dan tangan manusia yang tidak menjalankan amanah Tuhan dengan ertikata yang sebenarnya.

Kami yakin Y.B. Dato’ berupaya membongkar perkara ini. Kami percaya sekiranya perkara ini dapat dibahaskan di Parlimen, ia akan tercatat dalam sejarah Perkhidmatan Awam kita sebagai sejarah seluruh penjawat awam Malaysia dan kenangan manis perjuangan Y.B. Dato’ sebagai pembela nasib rakyat.

Sekian, terima kasih.

Pegawai Kerajaan Malaysia Kelas Tiga Asal Johor Baru, Kini Bertugas Di Putrajaya

Salinan :
i. Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
ii. Y.B. Encik Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang, Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia (Salinan ini hanya akan dihantar selepas Dato' membawa isu ini ke Parlimen).
iii. Presiden CEUPEC, Malaysia.

PTD perlu bekerja lebih bermaruah: Luahan seorang Pembaca BH

Penyakit segelintir PTD. Sebelum parah perlulah kita ubati. Sila ikuti luahan rasa seorang yang bernama IZA (nama samaran).

Biarpun pedih tapi itulah hakikatnya. Pegawai tinggi kerajaan khususnya Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) harus bekerja dengan lebih bermaruah. Penyusunan semula organisasi kerajaan dengan wujudnya kementerian baru, nyata pemerintah mahukan perkhidmatan yang lebih efisien. Saya dapat rasakan haluan yang ingin dibawakan oleh Perdana Menteri dengan moto bekerjalah bersama-sama beliau. Tetapi yang nyata pegawai tinggi kerajaan begitu sinonim dengan moto `bekerjalah untuk saya'. Semakin besar pangkat dimiliki, maka pegawai bawahan perlu lebih menjulang kedudukan mereka.

Apa yang parah, semakin dekat hari bersara semakin tidak dihiraukan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul. Kalau sesebuah organisasi kerajaan pincang, patutkah kita persalahkan kerani, pembantu am rendah atau jurutaip yakni kumpulan sokongan? Adakah mereka mempunyai peranan yang besar dalam menentukan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan lebih berkesan. Sudah tentu kita tahu jawapannya `tidak'. Orang yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menggerakkan sesuatu organisasi kerajaan ialah ketua yang terdiri dari kalangan PTD.

Kami kumpulan sokongan hanya membantu menjalankan tugas berdasarkan arahan. Sejak kebelakangan ini saya merasa begitu muak dengan kerenah PTD. Saya pernah bekerja dengan seorang ketua wanita yang begitu kreatif, bijak merangka hala tuju organisasi dan kehendak pelanggan, sama-sama turun padang menyelami masalah yang dihadapi oleh kakitangan, menangani masalah dan memastikan masalah yang sama tidak akan berulang, bijak berkomunikasi dengan kakitangan dan paling penting pantas dalam membuat keputusan.

Malangnya ketua begini tidak banyak dalam perkhidmatan awam. Sewaktu bekerja dengan beliau, saya rasakan pejabat suatu tempat yang meriangkan untuk dituju. Bekerja hingga lewat malam atau pada hari minggu tiada masalah. Bagaimanapun kenikmatan bekerja hilang kerana PTD yang menggantikan tempat beliau mempunyai sikap yang berlawanan. Bukan saya sahaja yang mengalami masalah demikian, malah rakan-rakan yang lain juga sering mengeluh dengan sikap PTD yang malas bekerja tetapi hanya tahu menjaga status diri hinggakan tujuan asal datang ke pejabat diabaikan.

Antara sikap yang memualkan ialah:
1. Lembap membuat sesuatu keputusan.
2. Tidak kreatif sebaliknya sering menimbulkan kerenah birokrasi.
3. Tidak tahu selok-belok tugas yang dilaksanakan oleh kakitangan bawahan.
4. Lebih suka mengarah dan menyerahkan tugas kepada pegawai bawahan yang sepatutnya di bawah tanggungjawab mereka.
5. Sering memberi perhatian kepada hal remeh-temeh.
6. Kurang menghadiri kursus-kursus penting yang diadakan di sekitar pejabat, sebaliknya lebih gemar menghadiri kursus yang dibuat di pusat-pusat peranginan.
7. Mahu diri diraikan oleh kakitangan secara berlebihan malah bersikap tinggi diri jika bertemu kakitangan bawahan.
8. Tidak pernah menyalahkan diri sendiri jika membuat kesilapan malah jika kesilapan dibuat oleh kakitangan bawahan, maka cacian akan dilemparkan sewenang-wenangnya.
9. Kurang minat bekerja apatah lagi hari bersara semakin dekat.
10. Membuang masa dengan meleter perkara yang bukan-bukan.

Rata-rata masalah yang diutarakan seperti kelewatan memproses permohonan, perkhidmatan kaunter yang tidak memuaskan, kesilapan dalam menjalankan tugas dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap seseorang ketua yang kurang bijak mengendalikan organisasi. Kita mengharapkan perkhidmatan bertaraf dunia, tetapi kita masih dinaungi oleh ketua yang malas. Golongan PTD patut bekerja bersesuaian dengan imbuhan yang dinikmati. Kalau Perdana Menteri mengaku beliau adalah hamba nombor satu negara, apatah PTD yang hanya seorang pegawai kerajaan. Saya cadangkan diwujudkan badan bebas untuk menangani masalah ini umpamanya menyediakan talian khas aduan, mengesan kepincangan sesuatu organisasi melalui permohonan pertukaran oleh pegawai bawahan yang kerap dilakukan di sesuatu pejabat, mengadakan sistem penilaian prestasi kerja terhadap seseorang ketua oleh kakitangan bawahan dan mengadakan sesi kaunseling kepada pegawai yang dilaporkan bermasalah. Kepada ketua yang berkhidmat dengan cemerlang, syabas diucapkan. Kepada ketua-ketua yang merasakan masih sayangkan kerusi yang diduduki, cubalah sekurang-kurangnya hayati Tonggak 12. Paling tidak, buatlah keputusan bijak iaitu bersara awal supaya tidak menyusahkan orang lain yang betul-betul berniat mencari rezeki halal.

- IZA MOHAMAD, Kuala Lumpur.