Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Monday, November 26, 2007

Perjawatan 'Penyapu'

Bila memperkatakan mengenai teori monopoli, tentulah ramai yang tertanya-tanya dan ingin melihat sejauh mana kebenarannya teori ini. Bila saya mengatakan bahawa kenaikan pangkat bukannya merujuk kepada prestasi dan keupayaan tetapi secara borong, ramai juga yang tertanya-tanya mengapa ini boleh berlaku.

Mungkin ada yang salah anggap, jika kita mengkritik maka kita selalu dikatakan anti-sesuatu. Kritikan ini adalah untuk kebaikan dan kritikan yang benar selalunya pahit dan menyakitkan.

Tidak perlu lagi diulas cerita ingin masuk ke JPN yang jelas telah dapat dihidu oleh para pendidik kita. Oleh itu satu tindakan bersepadu telah diambil oleh para pendidik bagi mengekalkan martabat profesion mereka.

Di dalam sektor awam ini, tindakan monopoli ini sebenarnya boleh mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap organisasi-organisasi kerajaan. Tindakan monopoli yang mementingkan golongan tertentu ini tentunya menyebabkan orang yang bukan 'ahli' diletakkan pada sesuatu jawatan tertentu.

Bila sesuatu jabatan baru ingin ditubuhkan, di antara perkara pokok yang perlu disegerakan ialah perjawatan bagi jabatan tersebut. Perjawatan ini merangkumi jumlah jawatan, gred, carta organisasi, carta fungsi, justifikasi, perbelanjaan emolumen dan sebagainya.

Oleh itu apabila ada sahaja peluang untuk menambahkan jawatan, maka mereka yang diamanahkan itu terus sahaja mewujudkan jawatan-jawatan untuk skim 'mereka' terutamanya untuk jawatan-jawatan yang terkanan di jabatan tersebut.

Buat masa ini, telah ada terdengar ura-ura bahawa RELA akan dinaiktaraf untuk dijadikan sebuah jabatan. Maka bahagian Sumber Manusia di KHEDN akan menyediakan permohonan tersebut. Siapa yang membuat kerja pentadbiran ini semua orang tahu dan kita akan lihat hasilnya kemudian.

Itu merupakan kes yang belum berlaku dan kita lihat mengenai kes yang telah berlaku. Sebuah jabatan yang baru diwujudkan pada tahun 2004 telah dimonopoli oleh skim PTD walaupun sukar untuk saya mempercayainya.

Jabatan tersebut ialah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.

Di jabatan ini, fungsi utamanya ialah terdiri dari 5 bahagian iaitu bahagian Zakat, bahagian Wakaf, bahagian Mal, bahagian Haji dan bahagian Penyelidikan dan Pelarasan.Bahagian lain tidak perlu kita lihat.

Bahagian Wakaf : Pengarah M52
Bahagian Zakat : Pengarah M52
Bahagian Haji : Pengarah M52
Bahagian Mal : Pengarah M48
Bahagian P & P : Pengarah M52

Sukar untuk dipastikan mengapa perjawatan di bahagian ini tidak diperuntukkan kepada mereka yang ahli di dalam bidang ini. Adakah terlepas pandang semasa permohonan perjawatan dahulu sedangkan ramai rakan saya yang layak ada di JAKIM. Mereka ini tentu dilihat lebih sesuai untuk mengisi jawatan-jawatan ini.

Namun begitu, jawatan bagi skim S iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam ada juga diwujudkan dan seperti biasa, ia hanya diletakkan di gred yang lebih rendah sedangkan sepatutnya merekalah yang mengetuai bahagian-bahagian tersebut.

Persolannya mengapa?

Saturday, November 10, 2007

Mentaliti Presiden PTD

56 merupakan umur bersara wajib bagi pekerja gomen. Sebaik tiba umur tersebut maka wajiblah ianya dibersarakan daripada perkhidmatan awam. Sekalipun menunggu pengumuman umur 'baru' untuk bersara daripada PM yang tak kunjung tiba, maka bila tidak ada pengumuman maka sudah tiba tempoh berehat.

Di dalam banyak kes, KSU yang bersara wajib masih disambung kontraknya. Kontrak ini bukannya diminta tetapi ditawarkan. Samada hendak menerima atau tidak terpulang kepada individu tersebut. Baru-baru ini seorang lagi KSU yang agak dikenali telah pun dibersarakan.

Mengikut ceritanya, KSU ini merupakan seorang yang 'anti kontrak'. Betul juga kata KSU ini, jika dia menerima kontrak, maka ia akan menghalang kemajuan pegawai-pegawai lain. Seharusnya ini juga merupakan semangat yang patut ada pada pegawai-pegawai kanan lain. Ini katanya;

Sebenarnya, saya telah diminta sambung perkhidmatan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun, saya merayu kepada beliau supaya tidak menyambung perkhidmatan. Saya rasa adalah wajar bagi pegawai-pegawai muda diberi peluang mengisi jawatan ini. Selama di sini pun, tujuh orang timbalan KSU di bawah saya telah bersara.

Kalau perkhidmatan saya disambung, nanti tujuh lapan orang timbalan KSU juga bersara sebelum saya. Saya berpendapat moral para pegawai wajar dijaga setiap masa. Tambahan lagi, sebagai Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), saya berperanan menjaga kebajikan ahli-ahli, termasuk dalam soal prospek kenaikan pangkat mereka.

Nampak gaya seperti mengambil berat terhadap kebajikan pegawai-pegawai lain untuk kemajuan kerjaya pegawai-pegawai lain. Jika ini iltizamnya, tentu kita bersyukur mendapat KSU yang sebegini prihatin. Semua orang di Kementerian ini tentu tak kisah perlu masuk jam 8.00 pagi walaupun ada pekeliling kerajaan mengatakan adanya waktu anjal, tetapi disebabkan olehnya maka semua orang perlu masuk jam 8.00 pagi dan pulang jam 5.00 petang. Apa tujuannya, kita tidak pasti. Adakah kerana ingin menunjukkan kekuasaan (gaya PTD) kerana telah ada arahan membenarkan waktu anjal.

Bila merujuk dengan lebih teliti kenyataannya, rupa-rupanya KSU ini seolah-olah lebih menitikberatkan mereka yang segolongan dengannya. Moral pegawai yang harus dijaga hanyalah moral pegawai yang segolongan dengannya sahaja. Dia juga menambah lagi bahawa dengan jawatannya selaku Presiden PPTD, prospek kemajuan PTD sahaja yang lebih penting untuk dijaga. Dia lupa bahawa dia adalah juga KSU kepada jawatan-jawatan lain.

Untuk lebih jelas memahami mentaliti golongan ini terhadap skim lain, ini katanya...

Daripada skim gaji pula, kita telah mewujudkan Gred 54 bagi pegawai bukan jurusan Tadbir dan Diplomatik untuk maju di dalam Jabatan Imigresen.

Bagi mereka, jawatan lain boleh maju. Memang benar, tetapi melihat kepada maksudnya ini bermakna jawatan lain dan sebagai contoh dalam Jabatan Imigresen, hanya boleh maju ke Gred 54 sahaja. Jawatan lain yang lebih tinggi akan dikaut oleh golongan PTD dan inilah yang sebenarnya berlaku dan sedang berlaku. Pada golongan PTD ini, Gred 54 sudah menunjukkan kemajuan kepada skim lain dan sebenarnya ia merupakan penghinaan perjawatan yang cukup merisaukan.

Apakah tugasan utama Imigresen dan bayangkan peneraju di Imigresen tidak pun mempunyai pengalaman dengan tugasan Imigresen tetapi mampu menerajui Jabatan tersebut. Demikianlah kerjaya pegawai Imigresen.

Friday, November 9, 2007

Apa kes JPA?

Adakah Ms' di JPA di 'scapegoat'kan dengan pengumuman 20-97% kenaikan atau silap percaturan atau kajian tidak menyeluruh. Mungkin kadar elaun diberi berdasarkan taraf hidup di sesuatu kawasan tetapi jika terlalu rendah macam mana student nak hidup bang...
Apa-apa pun kita tunggu M bahagian perhubungan awam di JPA jawab isu ini.

Berita Harian 9 November.... Yellow creatures resurrection!
Elaun pelajar luar negara dikurangkan

SAYA bapa kepada seorang pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menaja anak saya belajar di sana. Ketika pembentangan belanjawan negara baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kenaikan elaun 20 hingga 97 peratus kepada pelajar di Kanada, United Kingdom dan AS. Kami gembira dan sekali lagi ingin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan JPA. Tetapi kegembiraan kami bertahan dua bulan saja. Pengumuman kenaikan 20 hingga 97 peratus pada dasarnya besar, tetapi hakikatnya pelajar menerima Elaun Sara Hidup kurang daripada sebelum ia diumumkan.

Sebelum ini, pelajar tajaan JPA di universiti di mana anak saya menuntut menerima AS$667.70 sebulan. Walaupun jumlah itu besar, selepas ditolak bayaran penginapan dan makanan, dia hanya menerima AS$133 sebulan. Kini anak saya bakal menerima AS$335 sebulan dan selepas ditolak penginapan, baki tinggal AS$67 sebulan. Secara purata dia menerima AS$2.10 sehari. Mereka juga menyatakan bahawa keputusan dibuat dan muktamad. Alasan diberi seperti berikut: l Pindaan Kadar. Sebelum ini ada dua kadar, tetapi selepas kajian semula, ia dibahagi kepada tiga. Kadar tempat anak saya menuntut adalah yang terendah iaitu kadar C. Adakah ini bermakna kadar C yang baru direka ini dikurangkan bagi menampung kenaikan kadar A dan B?

Beliau juga menyatakan pelajar tidak nampak ke mana perginya sebahagian daripada kenaikan itu. Apakah dimaksudkannya, beliau seolah-olah tidak mahu menjelaskan secara terperinci apa sepatutnya diagihkan kepada pelajar. Apakah ini satu ketelusan? l Pelajar diberi sajian di kampus, justeru secara tidak langsung beliau menyatakan AS$2.10 sehari sebagai wang saku adalah memadai. Saya menyanjung tinggi pengurusan pihak universiti di mana anak saya menuntut. Setiap bulan saya menerima penyata kewangan membabitkan pembayaran JPA kepada pihak pengurusan universiti. Ini juga melambangkan ketelusan pihak universiti berhubung pembayaran serta penerimaan wang dari JPA. Saya mengesyorkan agar JPA juga melaksanakan sistem pengurusan itu, bukan saja bagi pembayaran yuran pengajian, tetapi merangkumi elaun sara hidup pelajar.

BAPA MENGELUH,
Datuk Keramat, Kuala Lumpur.