Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Thursday, September 6, 2007

Pejabat Tanah :Bahagian 1

Forum Utusan Malaysia, 6 September 2007.

Pantau semua pejabat tanah

Beberapa kes melibatkan pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sejak dua tahun lalu menuntut renungan kita bersama. Ia membuktikan gejala rasuah masih menjadi cara mudah individu tidak bertanggungjawab di PTG untuk memperoleh kekayaan.
Itu yang dilaporkan dan disiasat. Bagaimana dengan kejadian rasuah dan penyelewengan kuasa yang berlaku secara senyap dan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa?

Bukanlah hendak membuat tuduhan melulu tetapi saya percaya jumlahnya begitu banyak. Ini berdasarkan pengalaman saya dan ramai lagi ketika berurusan dengan sebahagian kakitangan PTG.Saya tidak menuduh semua kakitangan di PTG mengamalkan rasuah, itu tidak adil. Saya hanya merujuk kepada sebahagiannya.


Bukan rahsia lagi, PTG adalah jabatan yang paling mudah berlaku manipulasi di kalangan pegawai dan kakitangannya untuk terjebak rasuah dan penyelewengan.
Jika kita rapat atau mengenali pegawai atau kakitangan pejabat tanah, jangan hairan kalau mereka bercerita mempunyai lot tanah sama ada tapak rumah atau pertanian, bukan sahaja satu malah lebih.

Sedangkan kita sendiri yang berkemampuan memohon dan mendapatkan tanah hanya membazir wang membeli wang pelan dan membayar wang permohonan tetapi akhirnya berputih mata.

Mereka ini tahu selok-belok cara menyelitkan nama masing-masing dalam permohonan orang lain untuk mendapatkan lot tanah terutama bagi kawasan baru dibuka kepada orang ramai.
Saya dan beberapa rakan mempunyai pengalaman pahit berurusan memohon tanah di Wilayah Persekutuan dan Selangor apabila maklumat permohonan ‘dirompak’ pegawai atau kakitangan di pejabat tanah.

Sama ada kerani di pejabat pelan atau pejabat memproses permohonan, mereka akan ‘menjual’ maklumat tanah yang kita pohon kepada orang lain terutama yang boleh menjanjikan wang ringgit sekiranya permohonan mereka berjaya.
Bayangkan, saya dan rakan berusaha mengenal pasti tapak tanah yang belum dimiliki sesiapa tetapi selepas kami mengemukakan permohonan, berbelas lagi permohonan lain turut meminta tapak serupa.

Malah bagi membuktikan perkara ini, baru-baru ini kami memohon tapak yang belum pernah dipohon sesiapa pun kerana tiada yang mengetahui tapak berkenaan belum diluluskan kepada mana-mana pihak.Semasa membuat permohonan, kami dimaklumkan belum ada sesiapa memohon tapak itu tetapi seminggu selepas kami mengemukakan permohonan hampir sepuluh pihak turut mengemukakan permohonan.Kenapa tapak tanah yang sekian lama tidak pernah dipohon dengan tiba-tiba diketahui orang lain selepas kami bersusah payah mengenal pasti tapak dan membuat semakan pemilikan.Pasti orang dalam pejabat tanah yang membocorkan maklumat ini kepada pihak lain dan ini tidak mungkin berlaku secara percuma.
Inilah penyelewengan dan rasuah yang kerap berlaku hampir di semua pejabat tanah di negara ini. Mereka ini menjadi ‘lanun moden’ yang merompak maklumat pemohon dan menjual kepada orang lain pula.


Ada lagi elemen rasuah berlaku secara halus di PTG termasuk meminda nama pemilik tanah asal dan keluasan sesuatu saiz tanah. Itu belum lagi ‘duit kopi’ yang diminta bagi mempercepatkan proses permohonan dan sebagainya. Saya percaya, usaha memerangi rasuah di pejabat tanah perlu dipertingkatkan bukan semata-mata mengharapkan maklumat orang ramai.


Badan Pencegah Rasuah (BPR) haruslah mempunyai kaedah lain mengesan mereka yang korupsi dan menyalah guna kedudukan di pejabat-pejabat tanah seluruh negara termasuk melalui pendekatan pengintipan dan perisikan. Tugaskanlah pegawai BPR secara rahsia di PTG, pasti akan dapat ‘hasil yang mengejutkan’.


Saya juga mencadangkan kepada Ketua Setiausaha Negara memperkenalkan mekanisme tertentu bagi mengawasi serta mencegah berlakunya penyelewengan di PTG.
Selain itu, semua kakitangan PTG di seluruh negara daripada budak pejabat hinggalah ke pegawai tertinggi perlu mengisytiharkan harta bagi tempoh setiap enam bulan.


– ANTIPENIPUAN,
Selangor.

No comments: