Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Tuesday, September 11, 2007

Laporan Audit Negara

Laporan Audit baru-baru ini memang membuka mata kepada mereka yang matanya sengaja ditutup. Laporan tersebut menjadi hangat kerana telah diwar-warkan oleh akhbar-akhbar harian secara berterusan semenjak beberapa hari. Walaupun begitu sebelum ini juga terdapat laporan audit tetapi tidak pula diwar-warkan sebegini rupa.

Menurut laporan tersebut terdapat beberapa kementerian seperti KBS, Kem. Wanita, Kem. Kewangan, Kem. Penerangan serta Kem. Pertanian (seperti yang dinyatakan oleh laporan akhbar) mempunyai kelemahan tertentu di dalam melaksanakan arahan di kementerian masing-masing. Maka berusaha dengan gigihlah Menteri serta KSU berkenaan untuk menyediakan alasan bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

Walaupun demikian surat pembaca akhbar ini juga harus membuka mata banyak pihak. Perkara ini juga ada yang telah dinyatakan di dalam myjusa ini. Apa yang ingin ditimbulkan oleh pembaca ini ialah perkara dasar dan polisi. Tidak perlu berfikir jauh-jauh dahulu jika perkara asas pun dipandang sebelah mata sahaja. Perkara itu adalah mengenai isu sumber manusia di sektor awam yang selalunya bertumpu kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (sic) sahaja.

Secara sinis pembaca tersebut telah membangkitkan bahawa walaupun kurang atau tiada kepakaran di dalam sesuatu bidang, golongan PTD (sic) ini terus dilantik menjadi TKSU atau KSU dan menerajui sesuatu organisasi. Ada juga diantara mereka dilantik menjadi Ketua Pengarah bagi organisasi yang tidak selayaknya buat mereka. Rasanya tidak perlulah disebut lagi modal untuk menghalalkan monopoli mereka iaitu 'kerja-kerja pengurusan'. Sepanjang pemahaman mereka pengurusan hanya boleh dibuat oleh PTD (sic) sahaja. Mungkin mereka perlu bertanya Prof. Hamdan Adnan yang menyatakan;

Consumer watchdog Fomca advisor Prof Hamdan Adnan said public fund mismanagement was a hot topic among Malaysians.

“The Anti-Corruption Agency must step in. It is very fishy when officers are allowed to purchase a car jack for RM5,700 when it is only worth RM50,” said Hamdan.

He also wanted to know if the Government would investigate why the Youth and Sports Ministry’s secretary-general had signed off 11 contracts beyond his authority.

Berbalik kepada surat pembaca tadi, akhir sekali beliau juga menyeru agar diadakan audit perjawatan bagi mengurangkan jawatan-jawatan yang tidak perlu di dalam sektor awam dan meletakkan sesuatu jawatan tersebut kepada yang ahli.

Kepada yang kurang jelas, maksudnya secara lebih kurang ialah jangan meletakkan seorang PTD (sic) menjadi Naib Canselor universiti.

Thursday, September 6, 2007

Pejabat Tanah :Bahagian 1

Forum Utusan Malaysia, 6 September 2007.

Pantau semua pejabat tanah

Beberapa kes melibatkan pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sejak dua tahun lalu menuntut renungan kita bersama. Ia membuktikan gejala rasuah masih menjadi cara mudah individu tidak bertanggungjawab di PTG untuk memperoleh kekayaan.
Itu yang dilaporkan dan disiasat. Bagaimana dengan kejadian rasuah dan penyelewengan kuasa yang berlaku secara senyap dan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa?

Bukanlah hendak membuat tuduhan melulu tetapi saya percaya jumlahnya begitu banyak. Ini berdasarkan pengalaman saya dan ramai lagi ketika berurusan dengan sebahagian kakitangan PTG.Saya tidak menuduh semua kakitangan di PTG mengamalkan rasuah, itu tidak adil. Saya hanya merujuk kepada sebahagiannya.


Bukan rahsia lagi, PTG adalah jabatan yang paling mudah berlaku manipulasi di kalangan pegawai dan kakitangannya untuk terjebak rasuah dan penyelewengan.
Jika kita rapat atau mengenali pegawai atau kakitangan pejabat tanah, jangan hairan kalau mereka bercerita mempunyai lot tanah sama ada tapak rumah atau pertanian, bukan sahaja satu malah lebih.

Sedangkan kita sendiri yang berkemampuan memohon dan mendapatkan tanah hanya membazir wang membeli wang pelan dan membayar wang permohonan tetapi akhirnya berputih mata.

Mereka ini tahu selok-belok cara menyelitkan nama masing-masing dalam permohonan orang lain untuk mendapatkan lot tanah terutama bagi kawasan baru dibuka kepada orang ramai.
Saya dan beberapa rakan mempunyai pengalaman pahit berurusan memohon tanah di Wilayah Persekutuan dan Selangor apabila maklumat permohonan ‘dirompak’ pegawai atau kakitangan di pejabat tanah.

Sama ada kerani di pejabat pelan atau pejabat memproses permohonan, mereka akan ‘menjual’ maklumat tanah yang kita pohon kepada orang lain terutama yang boleh menjanjikan wang ringgit sekiranya permohonan mereka berjaya.
Bayangkan, saya dan rakan berusaha mengenal pasti tapak tanah yang belum dimiliki sesiapa tetapi selepas kami mengemukakan permohonan, berbelas lagi permohonan lain turut meminta tapak serupa.

Malah bagi membuktikan perkara ini, baru-baru ini kami memohon tapak yang belum pernah dipohon sesiapa pun kerana tiada yang mengetahui tapak berkenaan belum diluluskan kepada mana-mana pihak.Semasa membuat permohonan, kami dimaklumkan belum ada sesiapa memohon tapak itu tetapi seminggu selepas kami mengemukakan permohonan hampir sepuluh pihak turut mengemukakan permohonan.Kenapa tapak tanah yang sekian lama tidak pernah dipohon dengan tiba-tiba diketahui orang lain selepas kami bersusah payah mengenal pasti tapak dan membuat semakan pemilikan.Pasti orang dalam pejabat tanah yang membocorkan maklumat ini kepada pihak lain dan ini tidak mungkin berlaku secara percuma.
Inilah penyelewengan dan rasuah yang kerap berlaku hampir di semua pejabat tanah di negara ini. Mereka ini menjadi ‘lanun moden’ yang merompak maklumat pemohon dan menjual kepada orang lain pula.


Ada lagi elemen rasuah berlaku secara halus di PTG termasuk meminda nama pemilik tanah asal dan keluasan sesuatu saiz tanah. Itu belum lagi ‘duit kopi’ yang diminta bagi mempercepatkan proses permohonan dan sebagainya. Saya percaya, usaha memerangi rasuah di pejabat tanah perlu dipertingkatkan bukan semata-mata mengharapkan maklumat orang ramai.


Badan Pencegah Rasuah (BPR) haruslah mempunyai kaedah lain mengesan mereka yang korupsi dan menyalah guna kedudukan di pejabat-pejabat tanah seluruh negara termasuk melalui pendekatan pengintipan dan perisikan. Tugaskanlah pegawai BPR secara rahsia di PTG, pasti akan dapat ‘hasil yang mengejutkan’.


Saya juga mencadangkan kepada Ketua Setiausaha Negara memperkenalkan mekanisme tertentu bagi mengawasi serta mencegah berlakunya penyelewengan di PTG.
Selain itu, semua kakitangan PTG di seluruh negara daripada budak pejabat hinggalah ke pegawai tertinggi perlu mengisytiharkan harta bagi tempoh setiap enam bulan.


– ANTIPENIPUAN,
Selangor.