Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Friday, July 27, 2007

Rencana: Sukan negara patut dikendali profesional

PendapatPRESTASI sukan negara sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan yang terumbang-ambing lebih-lebih lagi arena sukan bola sepak yang telah lama dinobatkan sebagai ‘sukan masa lapang’ masyarakat Malaysia.

Ramai yang berasa tidak puas hati dan sudah menyampah dengan prestasi yang tidak menentu dan mula tercari-cari alternatif penyelesaiannya.

Sukan di negara kita pada zaman sekarang bukan merupakan sukan seperti sukan zaman dahulu yang mempunyai ‘aura’ dan ‘rohnya’ tersendiri.

Sukan sekarang merupakan satu industri yang bukan sahaja melibatkan atlet, pihak pengurusan dan kerajaan, namun ia turut membabitkan industri hiliran. Contohnya, pengeluaran graduan aliran sains sukan, para peniaga kecilan yang menyewa di premis sukan, industri pengiklanan, pengamal media dan lain-lain pihak yang berkepentingan.

Jika ia sudah menjadi suatu industri, maka perlulah kita menanganinya secara ‘orang industri’.
Dengan kata lain, semua pihak perlulah profesional dan jangan mudah rasa kecil hati, terasing serta terabai dalam usaha memartabatkan industri sukan negara.

New York Yankees, Manchester United (MU) dan Real Madrid merupakan antara francais sukan yang berjaya di dunia. Tidak hairan mengapa MU dan Real Madrid boleh berjaya menjadi antara pasukan bola sepak terkaya di dunia.

Pada asasnya sukan bola sepak adalah sukan yang mudah dan murah. Anda boleh bermain bola sepak di mana sahaja walaupun tiada bola sepak yang sebenar.

Sebagai contoh, kanak-kanak di negara Dunia Ketiga boleh bermain dengan hanya menyepak tin-tin kosong di atas kawasan tanah liat. Namun, mengapa New York Yankees juga merupakan antara francais sukan yang terkaya di dunia sedangkan sukan baseball hanya diminati di negara-negara Amerika Utara dan Jepun? Jawapannya ialah pasukan tersebut telah diurus secara profesional oleh golongan yang profesional.

Kebanyakan francais sukan terkemuka di dunia tidak ditadbir urus oleh golongan ahli politik.
Jika adapun ahli politik, mereka sebenarnya adalah pemilik sah kepada organisasi tersebut. Sedangkan di negara kita, organisasi sukan ditadbir urus oleh golongan politik atas alasan ingin mencari penajaan.

Sukan adalah hak masyarakat dan sudah masanya, sukan dikembalikan kepada masyarakat. Sebagai contoh, jika saya mempunyai kewangan yang kukuh dan ingin membeli pasukan bola sepak negeri Sabah maka sewajarnya saya diberi ruang dan peluang yang sah untuk menjadi pemilik kepada organisasi tersebut.

Saya juga berpeluang untuk menamakan pasukan saya dengan apa sahaja nama yang saya sukai berdasarkan kajian terhadap peminat negeri tersebut.

Maka akan ada orang yang bertanya di manakah peranan kerajaan jika perkara tersebut dilaksanakan? Tugas kerajaan adalah memberikan kemudahan sukan yang terbaik.

Pada tahun 1990-an, pasukan bola sepak Amerika (American Football) Denver Broncos mahu agar kerajaan negeri Colorado membina stadium baru untuk menukarkan Stadium Mile High yang sudah uzur tetapi penuh dengan nilai sejarah.

Pada masa itu kerajaan di negeri tersebut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan pihak pengurusan Denver Broncos bertindak untuk membawa pasukan tersebut keluar dari negeri Colorado. Disebabkan itu, pihak kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengadakan undian umum yang pada akhirnya memihak kepada organisasi Denver Broncos.

Akhirnya, mereka mendapat stadium baru. Inilah yang akan terjadi jika sukan negara dilayan seperti sebuah industri di mana pada akhirnya sukan dan masyarakat yang akan mendapat keuntungan.

Sebenarnya Malaysia sudah bersedia untuk mengiktiraf sukan sebagai sebuah industri atas beberapa faktor. Antaranya, institusi pendidikan tinggi di Malaysia sudah lama mengeluarkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran di dalam bidang teknikal sukan dan juga dari aspek pengurusan sukan.

Sayang sekali, modal insan berkemahiran tidak digunakan dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan dan juga pengamal industri sukan.

– MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

No comments: