Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Thursday, July 12, 2007

Antara JUSA dan Gred Khas dan Turus

Pewujudan JUSA dan Gred Khas diperkenalkan semasa SSB 1992. Tidak semua skim perkhidmatan dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional memperuntukkan kenaikan pangkat ke JUSA/Gred Khas. JUSA diwujudkan bagi melaksanakan peranan dan fungsi pengurusan organisasi dan penggubalan dasar. Jawatan Utama Gred Khas diwujudkan berdasarkan pengiktirafan tahap kepakaran dan pengalaman penyandangnya. Sebagai contoh, jawatan KSU, TKSU, KP (tertentu) diberikan JUSA dan Gred Khas kebanyakannya diberikan kepada Profesor universiti walaupun ada juga daripada skim perkhidmatan awam yang lain. Untuk menyenangkan lagi, majoriti penganugerahan JUSA diperuntukan kepada PTD dan amat mustahil untuk Gred Khas diberikan kepada PTD.



Akan tetapi terdapat perbezaan yang ketara diantara JUSA dan Gred Khas. Untuk mendapat JUSA tidak semestinya melalui “beban” yang sama dengan Gred Khas (kita ambil contoh profesor) yang mana memerlukan tahap pencapaian kecemerlangan akademik terkemuka mutunya dan syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Universiti. Apa yang menyedih dan memedihkan ialah Imbuhan untuk kakitangan cemerlang di universiti seperti profesor bukan saja sukar diperoleh, malah lebih rendah berbanding skim Ketua Setiausaha (KSU) di sesetengah kementerian. Walaupun skim gaji Gred Khas cuba menyaingi JUSA akan tetapi cuba bayangkan imbuhan untuk seorang professor Gred A di universiti hanyalah menyamai imbuhan PTD yang skim Staf 3 yang dinikmati oleh golongan berkenaan. Ini bermakna, gaji maksimum untuk pensyarah ialah profesor Gred A, lebih rendah berbanding PTD atau Ketua Setiausaha dalam skim Staf 3, gred paling rendah dalam skim Staf. Maksudnya, gaji KSU di bawah skim Staf 3 jauh lebih tinggi daripada gaji pensyarah universiti awam yang berpangkat Profesor Gred Khas A. Lebih menarik lagi, skim yang setara dengan skim Staf tidak wujud dalam perkhidmatan pendidikan atau perkhidmatan awam lain.



Untuk rekod, gaji maksimum profesor Gred Khas A ialah RM9,039.80 sebulan (sebelum kenaikan gaji 7.5%). Lebih malang untuk golongan cerdik pandai, PTD mempunyai gaji khas untuk Ketua Setiausaha Negara. Secara umumnya, skim PTD mempunyai empat tangga gaji lebih tinggi daripada skim perkhidmatan pendidikan yang ironinya, juga dikatakan kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional.



Persoalannya, adakah sumbangan kakitangan awam di bawah skim PTD lebih baik daripada buah fikiran profesor ternama di universiti awam? PTD yang ‘memegang tali’ bagi semua penjawat awam pasti tidak mahu melepaskan kuasa untuk membiarkan pihak lain membentuk skim gaji yang setara atau lebih baik untuk perkhidmatan lain. Bahkan “tali” ini kalau boleh semuanya akan dikongsikan dikalangan mereka sahaja. Inilah yang telah dibuktikan selama ini dari pemberian JUSA, Turus dan Gred Khas.
*Mahidol University adalah sekadar Gambar Hiasan.

No comments: