Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Thursday, June 7, 2007

PTK JPA, PTK Cuepacs

Akhbar muka depan Berita Harian semalam melaporkan bahawa Cuepacs mempertikaikan rekod kelulusan PTK yang dikeluarkan oleh JPA. Menurut JPA, rekod kelulusan kakitangan awam bagi PTK ialah 70% manakala rekod Cuepacs kurang dari 50% yang lulus.Bezanya 20%!

Jika di musim jualan murah potongan harga 70% tentulah akan membuatkan ramai orang gembira dan berpusu-pusu menuju ke sana berbanding potongan 50% jika barang yang dijual adalah sama. Di dalam sistem pendidikan juga markah 70% dan 50% akan membuatkan samada pelajar itu tidur lena atau tidur- tidur ayam.

Ini menunjukkan jurang perbezaan yang amat ketara seperti tidur-tidur ayam dengan tidur yang lena. Perbezaan yang amat besar iaitu seramai 200,000 kakitangan awam ini (jika kakitangan awam seramai satu juta) yang di dalam zon ‘kehilangan’. 200,000 kakitangan ini perlu risau kerana mereka bagai berada di ‘dua alam’ sekejap ada sekejap tiada.

Barangkali juga kerana kenaikan gaji KPPA hanyalah 7.5% maka mungkin angka tujuh itu masih bermain-main di fikirannya kerana dalam bulan 7 jugalah baru gaji barunya itu akan bermula.

Untuk mendakwa rekod di JPA tidak tepat merupakan sesuatu yang sukar dibuktikan. Ini kerana rekod ini sememangnya ada di JPA dan tentunya masih selamat kerana sehingga kini tidak kedengaran mana-mana siling di JPA yang runtuh mahupun bocor.

Walaupun rekod tidak tepat, ianya boleh dijadikan tepat. Kaedah ini pernah berlaku dibeberapa negara di dunia. Kaedah ini memerlukan kreativiti dan seni yang tinggi dan bukan calang-calang orang memiliki keupayaan sebegini. Semoga pihak berkenaan tidak menggunakan metodologi seni halus ini.

Walaubagaimanapun untuk mengatakan JPA berbohong mungkin agak keras bunyinya walaupun pernah wujud keraguan. Mana mungkin JPA berbohong kerana mereka memiliki tanggungjawab yang amat besar walaupun memiliki kemahiran yang terhad. Disanalah juga tempat berkumpulnya golongan Malayan Civil Service yang cekap menjaga monopoli mereka dengan penuh kreativiti.

Seharusnya semua kakitangan awam perlu menuntut penjelasan daripada JPA mengenai data ini kerana isu PTK ini merupakan isu yang sensitif. Rekod kakitangan awam yang lulus dan gagal akan diragui. Anjakan gaji dan kenaikan pangkat kakitangan sendiri akan diragui. Ada kemungkinan berlaku kakitangan yang lulus direkodkan sebagai gagal dan terlepas peluang untuk menikmati ganjaran yang selayaknya.

Jika JPA sendiri tidak mampu memberikan maklumat yang tepat, maka JPA sendiri tidak kompeten. Janganlah ada pihak pula selepas ini mengistiharkan ‘JPA GAGAL PTK’!.

1 comment:

Anonymous said...

mungkin sudah masanya PTK dikaji balik ke'relevanan'nya. Ia tidak semestinya mencerminkan KECEKAPAN seseorang kakitangan/Pegawai Awam...
Sekian, terima kasih.