Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Monday, June 11, 2007

Apa Khabar Cikgu?

Sudah hampir setengah bulan PTD memulakan tugas di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Guru-guru yang berkenaan telah mula dipindahkan ke unit lain bagi memberi ruang kepada PTD yang akan mengambilalih tugas-tugas yang dikatakan tidak termampu dibuat oleh guru. Maka dengan 'gembira' guru-guru terlibat mencari kotak-kotak untuk berkemas kerana tempat tersebut bukan lagi milik mereka.



Teman sekadar mengucapkan selamat bertugas kepada PTD di JPN dan kepada guru yang telah digantikan dengan PTD bolehlah cuba mencari kelainan dengan tugas baru dengan lapang dada. Cuma Teman tidak dapat merasai atau menggambarkan perasaan guru-guru tersebut. Apa yang Teman harapkan supaya guru tidak mengulangi sejarah yang telah tercatat di Kementerian Pertanian (sekarang ini Industri dan Asas Tani) dan Kementerian Kesihatan seketika dulu.

Jika diimbas sejarah tersebut ianya agak tragis. Penangan yang dikenakan oleh pegawai tani dan para doktor kepada PTD meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada mereka yang telah melaluinya sehinggakan PTD terpaksa memohon dicerai dengan talak 3 dari kemeterian berkenaan meskipun pada mulanya dialah yang masuk meminang dan kuasa talak ditangannya! Masakan tidak, dalam majlis rasmi atau sosial, PTD sering 'tercicir' atau 'terlepas pandang' sedangkan tukang cuci lantai dijemput sekali menyertai majlis. Itu belum diceritakan lagi peristwa-peristiwa lain. Tak apalah, Teman tak sanggup nak cerita.



Walau bagimanapun, Teman berharap sejarah biarlah menjadi sejarah. Usah diulang kembali sejarah tersebut. Biarlah ia berulang sekali sahaja. Tetapi Teman tidak terkejut jika pisang berbuah tiga kali. Sekadar tunggu dan lihat. Teman harap tidaklah ia jadi begitu.

6 comments:

Anonymous said...

apa kata kita hapuskan semua jawatan PTD, Jurutera, jadikan semua PEGWAI KERAJAAN

sulu said...

bawak2la mengucap....

daripada kutuk mengutuk mcm ni...
baik baca quran...
sampai aku pun terbabit sama..
sebab dah terbaca ceritera ngko ni..

aku rasa ngko pun bukan la nak bela skim lain sgt...

- N17

Anonymous said...

Saya sokong...kita buat jawatan terbuka semua...cikgu boleh cross kementerian jadi jurutera, arkitek boleh jadi doktor...

Anonymous said...

Betul tu...n17. Janganlah nak hentam orang tak tentu pasal. PTD muda2 yang naik pangkat tu cuma dapat nama je...gaji tak dapat pun... KUP je..(kerja untuk pahala)...tapi yang baiknya, diorang tak pernah complain. Kalau asyik nak complain, bila ko buat kerja ha?

'kejegomenjugak'

Anonymous said...

Saya terbaca blog berkenaan hal ni. Pendapat dari persepsi berbeza....

Sejak kebelakangan ini, sibuk diperkatakan di media masa mengenai isu Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan dimasuki oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Gambaran yang diberikan oleh sesetengah pihak seolah-olah JPN akan diambil alih tampuk kepimpinannya oleh PTD dan bukannya lagi oleh guru-guru. Gambaran yang tidak tepat ini seharusnya diperbetulkan oleh pihak-pihak yang menimbulkan isu ini. Berapakah jumlah sebenar kemasukan PTD ke JPN, adakah jawatan Pengarah Pelajaran Negeri akan diambil alih oleh PTD, berapakah jumlah jawatan-jawatan baru diwujudkan bagi memantapkan lagi pengurusan JPN, berapakah jumlah kenaikan pangkat yang diluluskan oleh pihak agensi pusat bagi pentadbiran JPN yang baru, adakah peluang kenaikan pangkat guru akan terjejas, adakah hanya skim PTD (M) sahaja yang dibawa masuk ke JPN, kenapa kemasukan skim Kewangan (W) dan Pegawai Sistem Maklumat (F) yang ditetapkan di unit-unit baru tidak dijadikan isu, dan banyak lagi isu-isu yang lain tidak dibangkitkan tetapi lebih wajar diperkatakan oleh pihak yang berkenaan.



Pada ketika ini, pentadbiran JPN diuruskan oleh skim Perkhidmatan Pendidikan (DG) yang diketuai oleh Pengarah Pelajaran Negeri , Timbalan Pengarah Pelajaran , ketua-ketua sektor, ketua-ketua unit dan pegawai-pegawai dan dibantu oleh lain-lain kakitangan sokongan. Tidak ada skim perkhidmatan lain yang bersama-sama DG menjalankan usaha yang begitu mulia di sisi agama dan bangsa iaitu membantu menguruskan perkara yang berkaitan dengan pendidikan atau penyampaian ilmu ke seluruh bumi tanah air ini. Hak mutlak ini diberi sepenuhnya oleh pihak kerajaan kepada guru-guru yang bertuah ini. Namun , bilamana Kerajaan merasakan adalah wajar hak mutlak berbakti kepada agama dan bangsa dikongsi bersama oleh skim-skim perkhidmatan yang lain seperti skim PTD, skim Kewangan dan juga skim Teknologi Maklumat. Tetapi terdapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu seolah-olah semacam komunis ingin menakluki tanah air yang merdeka ini. Tentangan yang dibuat samada menerusi forum, perbincangan, mesyuarat, mendapatkan tandatangan, sidang akhbar, menggunakan kabel-kabel politik dan lain-lain dijalankan bagi memastikan keputusan kerajaan untuk PTD memasuki JPN dibatalkan. Tidak pula usaha untuk yang sama dilakukan untuk menghalang skim-skim yang lain.



Persoalannya sekarang, kenapakah kemasukan PTD ini menjadi begitu sensasi dan diperbesar-besarkan oleh pihak-pihak tertentu? Saya membuat andaian tersendiri mengenai punca utama kepada permasalahan ini. Pada pendapat saya terdapat 2 punca utama iaitu tidak faham apa sebenarnya fungsi PTD di sektor yang baru ditukar nama itu dan merasa hilangnya kuasa autonomi dalam pentadbiran dari segi kewangan dan pembangunan.



Saya cuba untuk mengulas satu persatu dan ini adalah pada tanggapan dan pemikiran saya sahaja. Sebelum itu, sekadar sepintas lalu bilangan kemasukan PTD ke JPN hanyalah seramai 7 ataupun 8 orang sahaja. Kalau dikira menggunakan jari tangan pun tidak habis jari berkenaan dan terdapat juga 1 jawatan bagi skim Kewangan yang akan ditempatkan di Unit Kewangan dan 1 jawatan bagi skim Teknologi Maklumat.



Pantang biasanya kalau seseorang guru itu dikatakan tidak pandai ataupun kurang jelas tentang sesuatu perkara. Manakan boleh seorang guru tidak pandai atau kurang memahami tentang sesuatu perkara yang telah diterangkan, namun inilah perkara yang sebenarnya telah berlaku. Penjelasan dan maklumat lengkap mengenai kemasukan PTD telah diberikan oleh pihak pengurusan Kementerian Pelajaran (KPM) samada di peringkat Y.B. Menteri , Ketua Setiausaha (KSU) dan juga Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) namun masih tidak terbuka pintu hati golongan-golongan tertentu untuk menerima hakikat sebenarnya kemasukan PTD adalah bertujuan untuk membantu pihak pengurusan JPN sedia ada. Tidak dinyatakan pun oleh Y.B. Menteri bahawa PTD akan menggantikan pengarah-pengarah sedia ada tetapi sekadar mengambil satu jawatan sahaja iaitu jawatan Ketua Sektor bagi Sektor Pengurusan dan…………… . Manakala urusan yang akan diuruskan kelak adalah berkaitan dengan bidang dan kemahiran PTD bukannya urusan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Urusan yang akan diuruskan kelak adalah mengenai urusan kewangan, pentadbiran, perkhidmatan dan juga pembangunan. Ini bermakna guru-guru yang berada di JPN tidak lagi perlu bimbang dan rungsing mengenai hal-hal berkenaan. Tidak sama sekali menyentuh soal-soal akademik ataupun soal pedagogi guru-guru yang akan dicampuri oleh pihak PTD. Perkara ini tidak dijelaskan seterang terangnya.



Pendapat saya yang kedua iaitu merasa hilang kepada kuasa autonomi dari segi pengurusan kewangan dan pembangunan adalah agak keras bunyi. Namun ini adalah realiti keadaan yang sebenarnya. Kehilangan kepada dua perkara itu akan menyebabkan hilangnya taring yang selama ini dipegang dan digunakan sewajarnya yang mungkin. Jika kuasa berkenaan digunakan sewajar dan setelusnya, mana mungkin terdapat kes-kes yang melibatkan urusan pembelian tanpa adanya Pesanan Tempatan (Local Order) dalam jumlah yang besar, bagaimana sesuatu projek pembangunan dilakukan walaupun tidak ada punca kuasa yang jelas dan lain-lain. Perkara sebegini mungkin dapat dikurangkan jika seorang yang diletakkan di tempat berkenaan tidak ada niat untuk menjadi wakil rakyat tidak rasmi, mempunyai kepentingan peribadi dan rakan-rakan serta memahami sepenuhnya tatacara kewangan yang betul. Saya tidak menyatakan bilamana PTD menduduki jawatan berkenaan tidak wujud isu-isu yang dibangkitkan. Inilah peluang yang harus diambil oleh pihak guru-guru di JPN untuk menegur dan memberi kritikan paku keras kepada PTD yang berkhidmat gagal ataupun sama sahaja tindakan yang diambil mereka. Jika dahulu kita merasa segan untuk menegur kerana kawan-kawan yang berada di situ tetapi kini bukan lagi kawan tetapi seolah musuh yang sedang dicari peluang untuk dibunuh. Merasakan kehilangan kuasa tidak akan timbul jika , nawaitu yang ada disanubari adalah kerana Tuhan yang Esa membantu negara yang tercinta ini.



Sebagai penutup, profession perguruan merupakan profession yang sangat mulia dari dulu, kini dan masa akan datang. Maka sewajarnya pemikiran dan keterbukaan terhadap isu ini haruslah dibuka seluas-luasnya. Hanyalah hanya kerana kepentingan peribadi tergugat maka kita sibuk melaung-laungkan perjuangan yang sebenarnya bukan perjuangan. Banyak lagi soal perjuangan dalam bidang pendidikan yang harus kita tekankan dan bukannya soal yang tidak sampai sepuluh orang bagi setiap JPN ini diperbesarkan. Ingatlah bangkit mundur negara adalah di tangan insan-insan mulia yang bernama guru. Saya sentiasa berdoa semoga guru-guru saya diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan dikalangan oleh yang bertaqwa di sisi-Nya. Saya sentiasa berterima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik saya sehingga saya boleh membesar dengan ilmu yang dicurahkan.



Janganlah kerana isu ini, suatu hari kelak anak cucu kita akan menyalahkan kita. Marilah sama-sama kita bersatu walau apa jua skim perkhidmatan sekali pun untuk memajukan dan meningkat taraf pendidikan anak-anak kelak di bumi yang tercinta ini.

anak pakmuda said...

Saya bersetuju dengan kadar yang sangat-sangat. Taknak lah pulak saya berhujah panjang lebar. Satu perkara yang saya nak highlightkan adalah sebelum guru menjadi guru, dia merupakan murid kepada guru yang mana guru itu jugak adalah murid kepada gurunya.

Kelemahan dan kekurangan adalah suatu yang memang ada pada setiap yang bernama makhluk. Jadi, sewajarnya kelemahan dan kekurangan ini di atasi oleh kerajaan dengan langkah pembetulan yang sewajarnya.

Salah satu langkah adalah dengan meletakkan PTD bagi membantu memperkemaskan jentera pengurusan. Sangat mudah. Kenapa harus tersinggung dan kecil hati.

Hanya orang yang tidak paham, angkuh dan sombong saja tidak mahu menerima perubahan dan teguran.

Titik.