Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Sunday, June 24, 2007

Program PTD Borong

Kenaikan pangkat merupakan satu pengiktirafan daripada sesuatu organisasi kepada pekerja-pekerjanya yang mempamerkan mutu kerja yang cemerlang, berdedikasi, berkeupayaan, berpotensi serta berdaya maju untuk diberikan tanggungjawab yang lebih luas skopnya. Kenaikan pangkat sebegini sudah tentunya adalah mengikut merit di mana kemampuan sesorang kakitangan tersebut akan dinilai terlebih dahulu bagi memenuhi faktor-faktor seperti di atas sebelum dinaikkan pangkat.

Perkara ini yang merupakan 'silibus' asas di dalam pengurusan sumber manusia hanya dipraktikkan di dalam pekeliling dan diwar-warkan semasa ditemubual oleh media sahaja. Telah berulang kali kita didengarkan bahawa faktor prestasi dan keupayaan pegawai serta merit akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Ini juga ada disebut semasa kursus induksi atau apa sahaja kursus yang ada hubung kait dengan sumber manusia dan kenaikan pangkat.

JPA merupakan agensi pusat bagi hal ehwal yang berkaitan dengan urusan sumber manusia sektor awam. JPA jugalah yang akan mengeluarkan pekeiling perkhidmatan awam untuk semua agensi awam lain di mana agensi awam lain harus 'akur' kepada pekeliling tersebut walaupun sebilangan pekeliling bertaraf 'pincang' yang menunjukkan faktor tergesa-gesa dan keputusan pembuat dasar yang kurang bijak. Sudahlah begitu, tidak mahu merujuk pula dengan pihak-pihak berkenaan.

Jika JPA sebagai agensi yang kononnya pakar di dalam menggubal dasar sumber manusia sektor awam sendiri tidak menunjukkan sokongan kepada faktor merit ini bagaimanakah perkhidmatan awam ini akan diterajui oleh mereka-mereka yang berkeupayaan tinggi serta berkebolehan?

Program kenaikan pangkat 'borong separa masak' memang dipraktikkan oleh JPA terutamanya bagi golongan M (baca : PTD). Kenaikan pangkat secara borong ini rasanya tidak berlaku di mana-mana tempat lain di dunia dan mungkin hanya di Malaysia sahajalah berlaku sedemikian. Persoalannya mengapa ini berlaku? Jawapannya adalah mudah... ini kerana pembuat keputusan dasar di JPA memerlukan kelangsungan monopoli mereka, selagi ada jawatan yang wujud untuk golongan M ini, selagi itulah akan diisi. Jika jawatan tidak ada, maka menyelongkarlah segala jabatan dan agensi untuk diwujudkan jawatan bagi golongan M ini.

Percayalah, jika benar mutu perkhidmatan awam yang menjadi misi dan visi mereka, sudah tentu mereka tidak perlu berebut-rebut untuk masuk ke JPN atau Pejabat Kesihatan Negeri serta bidang-bidang lain yang tidak relevan. Jika benar bukan jawatan yang diidam oleh PTD, mengapakah jawatan yang bertaraf 'terbuka' di setiap kementerian dan jabatan seolah-olah menjadi jawatan 'khas' untuk PTD?

Sudahlah tiada kepakaran, ingin pula menduduki kerusi tersebut sehingga sanggup merosakkan kualiti perkhidmatan awam. Jika tidak tamakkan jawatan, mengapa di dalam senarai pendek untuk jawatan Ketua Pengarah BPR pun boleh pula terselit nama PTD? Ini lagi satu contoh meletakkan 'barang lusuh bukan pada tempatnya'.

Oleh kerana mahu memastikan misi monopoli tercapai, kakitangan golongan M semestinya beruntung kerana berjaya dipilih bagi program naik pangkat 'borong separa masak'. Bagi mereka yang masih tertanya-tanya program ini, jika anda bukan dikalangan mereka.. anda harus menjadi penontonnya sahaja.

Naik pangkat 'borong separa masak' ini merupakan program baru yang diperkenalkan pada hujung tahun 2006 yang lalu. Kebiasaannya naik pangkat secara 'borong' memang dipraktikkan oleh golongan M ini. Untuk makluman, kenaikan pangkat PTD sejak akhir-akhir ini, bukannya berdasarkan merit, keupayaan, potensi dan lain-lain faktor yang sepatutnya.

Kenaikan pangkat PTD ialah berdasarkan faktor tahun kemasukan. (Inilah realitinya). Contohnya boleh dilihat bagi PTD kemasukan (sebutan bagi PTD ialah batch) 2004, tahun 2007 telah mendapat kenaikan pangkat ke gred 44. Ini yang dikatakan 'separa masak'. Tiada faktor merit....inilah yang diterapkan oleh JPA bagi golongan Mereka.

Bagi PTD kemasukan tahun 2002 pula, gred 48 menjadi milik mereka pada tahun 2006. Tidak perlu faktor produktiviti mahupun merit. Inilah hasil pengurusan 'bijak' sektor awam. Oh ya....tentulah demi kelangsungan monopoli mereka. Maka berbanggalah PTD separa masak ini dengan hadiah yang diterima. Biarlah umur baru menjenguk lewat 20an, aku telah layak rupanya untuk jawatan 48 ini..

Dengan cara ini tentunya JPA percaya kualiti sektor awam akan lebih baik, 'ranking' dalam 'World Competitiveness Report' akan bertambah meningkat, 'ranking' laporan UNDP juga akan semakin mantap dan macam-macam lagi alasan untuk 'menghalalkan' tindakan mereka.

Setelah sedar bahawa tindakan JPA itu bakal 'melemahkan' sektor awam, maka langkah-langkah jangka pendek pun diambil. Buatlah sesi taklimat mahupun BTN atau apa sahaja untuk mereka ini, kerosakan telah berlaku. Kepincangan dalam sektor awam bakal dilihat tidak lama lagi. Jika kenaikan pangkat bersandarkan 'borong' usah difikirkan untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sektor awam telah kehilangan sesuatu yang baru... Penghormatan!






Monday, June 11, 2007

Apa Khabar Cikgu?

Sudah hampir setengah bulan PTD memulakan tugas di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Guru-guru yang berkenaan telah mula dipindahkan ke unit lain bagi memberi ruang kepada PTD yang akan mengambilalih tugas-tugas yang dikatakan tidak termampu dibuat oleh guru. Maka dengan 'gembira' guru-guru terlibat mencari kotak-kotak untuk berkemas kerana tempat tersebut bukan lagi milik mereka.



Teman sekadar mengucapkan selamat bertugas kepada PTD di JPN dan kepada guru yang telah digantikan dengan PTD bolehlah cuba mencari kelainan dengan tugas baru dengan lapang dada. Cuma Teman tidak dapat merasai atau menggambarkan perasaan guru-guru tersebut. Apa yang Teman harapkan supaya guru tidak mengulangi sejarah yang telah tercatat di Kementerian Pertanian (sekarang ini Industri dan Asas Tani) dan Kementerian Kesihatan seketika dulu.

Jika diimbas sejarah tersebut ianya agak tragis. Penangan yang dikenakan oleh pegawai tani dan para doktor kepada PTD meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada mereka yang telah melaluinya sehinggakan PTD terpaksa memohon dicerai dengan talak 3 dari kemeterian berkenaan meskipun pada mulanya dialah yang masuk meminang dan kuasa talak ditangannya! Masakan tidak, dalam majlis rasmi atau sosial, PTD sering 'tercicir' atau 'terlepas pandang' sedangkan tukang cuci lantai dijemput sekali menyertai majlis. Itu belum diceritakan lagi peristwa-peristiwa lain. Tak apalah, Teman tak sanggup nak cerita.



Walau bagimanapun, Teman berharap sejarah biarlah menjadi sejarah. Usah diulang kembali sejarah tersebut. Biarlah ia berulang sekali sahaja. Tetapi Teman tidak terkejut jika pisang berbuah tiga kali. Sekadar tunggu dan lihat. Teman harap tidaklah ia jadi begitu.

Thursday, June 7, 2007

PTK JPA, PTK Cuepacs

Akhbar muka depan Berita Harian semalam melaporkan bahawa Cuepacs mempertikaikan rekod kelulusan PTK yang dikeluarkan oleh JPA. Menurut JPA, rekod kelulusan kakitangan awam bagi PTK ialah 70% manakala rekod Cuepacs kurang dari 50% yang lulus.Bezanya 20%!

Jika di musim jualan murah potongan harga 70% tentulah akan membuatkan ramai orang gembira dan berpusu-pusu menuju ke sana berbanding potongan 50% jika barang yang dijual adalah sama. Di dalam sistem pendidikan juga markah 70% dan 50% akan membuatkan samada pelajar itu tidur lena atau tidur- tidur ayam.

Ini menunjukkan jurang perbezaan yang amat ketara seperti tidur-tidur ayam dengan tidur yang lena. Perbezaan yang amat besar iaitu seramai 200,000 kakitangan awam ini (jika kakitangan awam seramai satu juta) yang di dalam zon ‘kehilangan’. 200,000 kakitangan ini perlu risau kerana mereka bagai berada di ‘dua alam’ sekejap ada sekejap tiada.

Barangkali juga kerana kenaikan gaji KPPA hanyalah 7.5% maka mungkin angka tujuh itu masih bermain-main di fikirannya kerana dalam bulan 7 jugalah baru gaji barunya itu akan bermula.

Untuk mendakwa rekod di JPA tidak tepat merupakan sesuatu yang sukar dibuktikan. Ini kerana rekod ini sememangnya ada di JPA dan tentunya masih selamat kerana sehingga kini tidak kedengaran mana-mana siling di JPA yang runtuh mahupun bocor.

Walaupun rekod tidak tepat, ianya boleh dijadikan tepat. Kaedah ini pernah berlaku dibeberapa negara di dunia. Kaedah ini memerlukan kreativiti dan seni yang tinggi dan bukan calang-calang orang memiliki keupayaan sebegini. Semoga pihak berkenaan tidak menggunakan metodologi seni halus ini.

Walaubagaimanapun untuk mengatakan JPA berbohong mungkin agak keras bunyinya walaupun pernah wujud keraguan. Mana mungkin JPA berbohong kerana mereka memiliki tanggungjawab yang amat besar walaupun memiliki kemahiran yang terhad. Disanalah juga tempat berkumpulnya golongan Malayan Civil Service yang cekap menjaga monopoli mereka dengan penuh kreativiti.

Seharusnya semua kakitangan awam perlu menuntut penjelasan daripada JPA mengenai data ini kerana isu PTK ini merupakan isu yang sensitif. Rekod kakitangan awam yang lulus dan gagal akan diragui. Anjakan gaji dan kenaikan pangkat kakitangan sendiri akan diragui. Ada kemungkinan berlaku kakitangan yang lulus direkodkan sebagai gagal dan terlepas peluang untuk menikmati ganjaran yang selayaknya.

Jika JPA sendiri tidak mampu memberikan maklumat yang tepat, maka JPA sendiri tidak kompeten. Janganlah ada pihak pula selepas ini mengistiharkan ‘JPA GAGAL PTK’!.

Friday, June 1, 2007

PTD berbohong dan berputar belit? Anda Unggul, bohonglah semahunya.........

Surat ini diperolehi daripada laman web UiTM. Surat ini ditandatangani oleh Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM kepada Y.A.B. PM Malaysia. Disertakan disini untuk tatapan pembaca khususnya PTD sekalian.




Rujukan kami : MSS013.2/12/2005(158)
Tarikh : 23 Jun 2006



Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PutraJaya.

Y.A.B. Dato’ Seri,

Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) Pensyarah DM45.

Perkara diatas dan surat-surat JPA(S)63/177Klt.3(41) bertarikh 27 Disember 2005 dan JPA(S)63/177Klt.3(12) bertarikh 17 Mac 2006 adalah dirujuk.

2. Pihak kesatuan ingin merakamkan kekecewaan dengan pihak JPA yang masih enggan memperbetulkan anomali elaun pensyarah gred 45. Elaun sedia ada, yang dibayar kepada pensyarah gred 45 pada kadar RM300 ialah lebih rendah berbanding elaun yang dibayar kepada pegawai pengurusan dan professional (P&P) gred 43 iaitu RM400.

3. Bagi mengenepikan rayuan pensyarah gred 45, pihak JPA telah menggunakan pendekatan berbohong (rujuk Lampiran 1) dan memutar belit isu (rujuk Lampiran 2) dalam surat kepada YAB Perdana Menteri. Apakah peraturan sedia ada teratur, apabila elaun bagi jawatan gred 45 dibayar lebih rendah daripada elaun gred 43? Apakah peraturan sedia ada teratur, sehingga pihak JPA perlu berbohong kepada YAB Perdana Menteri berkaitan isu ini?

4. Untuk makluman YAB Perdana Menteri, pihak kesatuan telah cuba memperbetulkan anomali ini semenjak tahun 2002 lagi. Semasa pengumuman bajet tahun 2005, hanya anomali pembayaran elaun kepada gred 41 sahaja diperbetulkan, tetapi tidak bagi pensyarah gred 45.(Rujuk Lampiran 3). Pembayaran elaun yang lebih tinggi semestinya mengikut tertib gred yang lebih tinggi dan selaras dengan prinsip dalam skim SSM iaitu satu gred satu elaun.



5. Bersama ini pihak kami lampirkan surat-surat berkaitan isu tersebut semenjak tahun 2002. Berbagai-bagai alasan telah diguna pihak JPA bagi memastikan elaun pensyarah gred 45 dibayar pada kadar yang rendah, tidak setaraf walaupun berbanding elaun kumpulan P&P gred 43.

6. Pihak Kesatuan sekali lagi merayu kepada YAB Perdana Menteri agar anomali pembayaran elaun pensyarah gred 45 diperbetulkan oleh pihak kerajaan. Ianya sepatutnya ditetapkan pada kadar RM500 selaras dengan prinsip dalam skim SSM satu gred satu elaun dan selaras dengan kedudukan grednya yang lebih tinggi dari gred 43.

Sekian segala perhatian dan pertimbangan pihak YAB Dato’ Seri Perdana Menteri dalam hal ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan berbanyak terima kasih.



Yang benar,



Ab Latiff Ishak
Presiden
Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM

s.k.

YAB Dato’ Seri Najib Razak
Timbalan Perdana Menteri

YAB Dato Mustapha Mohamed
Menteri Pengajian Tinggi

Dato’ Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah
Naib Canselor UiTM

Dato’ Nordin Abdul Hamid
Presiden CUEPACS

Dato’ Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia
Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Sains Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Utara Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaysia Sarawak

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Sabah

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia

Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Kolej Universiti Islam Malaysia

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia



Lampiran 1.

Kenyataan pihak JPA kepada YAB Perdana Menteri dalam suratnya JPA(S)63/177Klt.3(41) bertarikh 27 Disember 2005, para 3. Baris ke empat.

“Semua perkhidmatan di dalam kumpulan P&P di gred lantikan dibayar ITKA RM300 sebulan. Sekira dipersetujui, pensyarah gred 45 akan dibayar ITK RM500 sebulan sedangkan lain-lain pegawai di gred lantikan dibayar ITKA RM300 sebulan”

Untuk pengetahuan YAB Perdana Menteri ini adalah satu pembohongan kepada YAB Perdana Menteri. Apakah ini cara pintas pihak JPA selesaikan isu-isu yang melibatkan kakitangan kerajaan. Tindakan berbohong ini menyebabkan kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta yang salah, ini menganiaya kakitangannya sendiri.

Untuk pengetahuan YAB Perdana Menteri, elaun yang sebenar mengikut pekeliling yang dilulus kerajaan yang dikeluarkan pihak JPA sendiri adalah semua pegawai perkhidmatan di dalam P&P di gred lantikan iaitu gred 41, 43, 47 dan seterusnya adalah dibayar mengikut kadar berdasar kedudukan gred masing-masing dan bukannya pada satu kadar RM300.


Lampiran 2.

Kenyataan pihak JPA kepada YAB Perdana Menteri dalam suratnya JPA(S)63/177Klt.3(12) bertarikh 17 Mac 2006.

Adalah tidak munasabah pihak JPA menggunakan alasan bahawa elaun pensyarah gred 45 dibayar pada kadar RM300 kurang dari elaun RM400 bagi gred 43 dalam kumpulan P&P, kerana elaun perumahan gred 45 telah dibayar lebih tinggi. Apakah prinsip yang sama diguna pakai bagi penetapan elaun keraian pegawai dalam gred-gred 47, 51, 53 dan pegawai-pegawai JUSA?

Prinsip yang membayar elaun khidmat awam/keraian yang rendah kepada kumpulan gred jawatan tinggi kerana gred jawatan tersebut telah dibayar elaun perumahan lebih tinggi, tidak pula diguna pakai keatas pegawai-pegawai dalam lain-lain gred skim SSM. Pihak kesatuan berpandangan sekira ini prinsip yang diguna pakai, ianya adalah peraturan yang tidak teratur.

Apakah sebenarnya prinsip dan falsafah yang diguna pakai bagi tujuan penetapan elaun-elaun kakitangan kerajaan?

Dalam surat tersebut para 2, pihak JPA membuat perbandingan dengan elaun gred 41, dan memberi alasan-alasan merujuk kepada gred 41. Apakah pihak JPA menetapkan jawatan pensyarah gred 45 setaraf dengan jawatan gred 41?
Untuk makluman YAB Perdana Menteri, dalam kedua-dua surat JPA kepada YAB Perdana Menteri, pihak JPA terus mengelak daripada isu sebenar iaitu elaun gred 45 dibayar rendah daripada elaun gred 43. (Disertakan salinan kedua-dua surat JPA tersebut)



Surat tersebut sampai disini. Tidak semua kandungan termasuk graf-graf kajian dalam surat tersebut dimasukkan disini. Macam mana kalau kita akhiri dengan serangkap pantun.


Siakap senohong, gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri,

Sekian............

Pegawai skim lain layak laksana tugas PTD

Dipetik daripada blog perkhidmatanawam.blogspot.com

ISU Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) masih hangat diperkatakan di kalangan kakitangan awam. Ramai menyokong dan ramai juga yang membantah.

Saya kira isu ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap PTD sudah lama berlaku di sektor awam. Cuma ia tidak begitu ditonjolkan kerana kebanyakan kerusi pengurusan ditakluki oleh PTD.

Memang benar PTD dilatih sedemikian rupa menerusi program Diploma Pengurusan Awam dan juga program lain seperti ‘Outbound School’, Undang-Undang, Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) bagi memantapkan kepakaran dan ketahanan fizikal dan mental.

Saya ingin merujuk surat pembaca ‘Pegawai Skim F’ cuba merungkai ketidakpuasan hatinya terhadap PTD yang dikatakan cuba memonopoli kedudukan atasan.

Apabila kita memasuki universiti dan memilih bidang sains, kita harap apabila tamat pengajian, kita akan menjadi orang nombor satu dalam organisasi, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Kedudukan nombor satu sentiasa dipenuhi golongan bukan profesional dalam bidang sains atau bidang khusus.

Sebagai contoh, Pegawai Skim F adalah Kumpulan Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat. Kelulusan minimum untuk menjawat jawatan Pegawai Sistem Maklumat dan PTD adalah sama iaitu sarjana muda, tetapi gaji permulaan kedua-dua skim ini berbeza sedangkan bidang teknologi maklumat adalah bidang sains berbanding bidang sastera yang diperoleh PTD.

Sejak awal lagi sudah ketara proses menganaktirikan itu berlaku apatah lagi pada masa akan datang. Sebagai pemegang Sarjana Muda Sains Komputer, mereka juga mempelajari ilmu pengurusan dan pentadbiran ketika di universiti.

Jika Diploma Pengurusan Awam dan program lain yang dipelajari PTD diberikan kepada pegawai skim lain, saya pasti sektor awam dapat menghasilkan pegawai profesional dalam bidang mereka di samping berhemah dalam pengurusan dan pentadbiran jabatan atau organisasi.

Tidak salah rasanya jika saya katakan tugas PTD adalah rencam. Ramai PTD menyatakan mereka pentadbir elit dan komited dengan tugas dan tanggungjawab, tetapi isunya berapa ramai yang bersikap begitu?

Jika mereka benar-benar elit dan berkaliber, kenapa ramai pegawai skim lain tidak puas hati? PTD adalah penggubal dasar yang sepatutnya memikirkan keseluruhan penjawat awam bukan hanya golongan yang berada dalam lingkungan persatuan PTD.

Kajian menyeluruh, jitu dan telus perlu dilakukan pihak bertanggungjawab yang tidak berada di dalam mana-mana skim perkhidmatan kerajaan terutama PTD.

Ramai guru pada masa kini mempunyai kelulusan sarjana muda sama seperti PTD. Saya yakin guru masa kini mempunyai ilmu dalam pengurusan dan pentadbiran. Dalam mentadbir dan menguruskan jabatan dari segi belanjawan, pembangunan infrastruktur, sumber manusia dan sebagainya, pegawai yang pernah menjawat jawatan guru mempunyai lebih banyak maklumat dari segi selok-belok jabatan.

JURUTERA SISTEM KANAN,
Dengkil, Selangor.

17 April 2007