Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Thursday, May 10, 2007

Jurutera mula bersuara

Tentunya sistem 'sumber manusia' perkhidmatan awam di negara ini mempunyai kepincangan yang ketara dan semakin jelas dipertontonkan sejak akhir-akhir ini. Ada juga hikmahnya persatuan guru menolak kemasukan golongan tertentu ke dalam iklim profesion perguruan. Ini seterusnya menyemarakkan lagi profesion-profesion lain agar bangkit dan menunjukkan sikap ketidakadilan dan monopoli gelojoh di dalam perjawatan perkhidmatan awam.

Tahniah juga kepada pakar-pakar komputer kerana berhasil meningkatkan imej dan profesion mereka di JPA dengan menuntut apa yang selayaknya buat mereka. Perjalanan kita masih panjang dan berduri.

Pada 7 Mei 2007, para jurutera mula membuka bicara. Melalui presiden Institut Jurutera Malaysia, Datuk Keizrul Abdullah yang dipetik oleh akhbar The Star, beliau menyarankan kepada JPA agar mewujudkan lebih banyak jawatan kepada para jurutera di sektor awam dan meminta agar JPA membuat perubahan yang sewajarnya agar para jurutera dapat dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Setiausaha atau memegang jawatan yang lebih tinggi.

Persoalannya mengapa perkara ini ditimbulkan? Seperti yang telah sedia maklum, setakat ini tidak ada sesiapa pun yang bukan daripada golongan 'M'ereka akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha. Bekerjalah seikhlas manapun, bekerjalah sekuat manapun, bekerjalah seproduktif manapun anda tidak akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha jika anda bukan dari golongan 'M'ereka.

Benar....jawatan tersebut merupakan jawatan terbuka, jawatan terbuka bermaksud bahawa jawatan tersebut boleh diisi oleh sesiapa sahaja dari mana-mana skim perkhidmatan. Tujuan murni jawatan terbuka ini ialah untuk mendapatkan calon yang baik, hebat, berkarisma dan lebih penting pakar di dalam perkara yang berkaitan agar dapat memimpin Kementerian tersebut. Namun begitu adakah semangat dan pelaksanaan ini dituruti di dalam perjawatan kategori terbuka ini?

Kita perlu sedar dan memahami bahawa JPA merupakan organisasi yang berkaitan dengan 'HR'. Maka peranan JPA adalah amat besar di dalam menentukan calon-calon bagi jawatan tertinggi kerajaan. Oleh kerana yang akan membuat 'recommendation' mengenai calon-calon bagi jawatan ini adalah daripada golongan 'M'ereka, maka seolah-olah tidak ada yang layak melainkan golongan itu sahaja. Sebab itulah kita tidak dapat melihat para jurutera, pakar sains, arkitek, guru, doktor, ahli farmasi, dan lain-lain tidak dapat mengetuk pintu jawatan tersebut. Jangankan Ketua Setiausaha, jawatan Timbalannya pun disekat habis-habisan.

Memang tidak sesuai apabila pakar perubatan tidak dapat menjadi KSU di Kementerian Kesihatan, pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran, Jurutera di Kementerian Kerja Raya, pakar Sains di Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan lain-lain kementerian lagi.

Sebagai contoh, KSU di Kementerian Kesihatan (Mei 2007) ialah yang mempunyai latar belakang bidang Pengurusan Personnel, TKSUnya bidang M.P.A dan seorang lagi tidak diketahui. Ini hanyalah sebagai contoh di mana AHLI tidak diletakkan pada tempatnya. Apabila ini berlaku, maka tunggulah kebinasaan.

Perkara ini dibangkitkan dan perlu disedarkan bahawa keperluan perubahan amat dialu-alukan. Kita memerlukan kepimpinan berkaliber dan pakar untuk mendokong jentera kerajaan ke arah jalan yang lebih kompetitif.

No comments: