Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Wednesday, May 23, 2007

Gaji Naik, kakitangan awam teruja tetapi....si miskin?

Gaji kakitangan awam naik! 1.2 juta kakitangan awam tersenyum meleret dengan pengumuman kenaikan gaji dari 7.5 ke 35 peratus. Abang polis dan abang askar pula dapat 9 hingga 42 peratus. Bersyukurlah mereka kepada Allah atas rezeki yang dikurniakanNya dan diberi melalui kerajaan. Terima kasih kepada CUEPACS, terima kasih kepada PM, terima kasih kepada golongan yang terlibat dalam membuat kerja-kerja dalam memberi KENAIKAN gaji (bukan semakan) terutamanya staf JPA. Terima kasih semua termasuk PTD. Adalah diharapkan dengan kenaikan gaji ini akan memberi sedikit keselesaan dalam mengharungi kehidupan harian yang sentiasa dikelilingi 'kenaikan'.

Apa yang pasti kenaikan gaji ini tentunya sangat mengujakan penjawat awam termasuk PTD. Bezanya, perasaan teruja ini mungkin kurang sedikit bagi PTD. Ini kerana PTD hanya sempat merasa gaji 'kecil' paling lama 3 tahun. Selepas itu gaji mereka akan dinaikkan mencanak dan terus mencanak sehingga tahap tepu tertentu. Penjawat awam selain PTD terpaksa melalui tahap penyeksaan yang lebih lama. Jangan diharap kenaikan pangkat ke gaji yang lebih besar dalam masa 3 tahun sahaja. Memadailah dengan mengharapkan kenaikan gaji tahunan sahaja. Itu pun sekitar 50 - 100 hengget setahun.

Tapi itu bukan perkara pokok untuk dibincangkan. Apa yang hendak diutarakan disini ialah kenaikan gaji hendaklah diselaraskan dengan tanggungjawab yang lebih besar bagi semua kakitangan awam. Kakitangan awam hendaklah sedar bahawa di Malaysia ada 24 juta penduduk. Tolak 1.2 juta penjawat awam. Tolak 1 juta (katakan) orang kaya raya, millionare, billionare. Maka yang tinggal 21.8 juta penduduk malaysia. Oleh itu 21.8 juta penduduk ini tentunya tidak senang dengan kenaikan gaji ini. Mengapa?

Lihatlah, sebelum diumumkan kenaikan gaji lagi, harga barang sudah mula naik. Harga makanan sudah mula naik. Belum lagi diumumkan kenaikan Tol. Bila semua sudah naik tentulah kesannya amat ketara kepada mereka yang 21.8 juta ini. Bagaimana Si Miskin dapat menghadapi situasi ini. Mereka bukan makan gaji. Kalau kerja adalah seciput kalau tidak maka berlaparlah mereka.

Penjawat awam seharusnya gembira dengan kenaikan gaji tetapi jangan dilupa akan Si Miskin. Cuba layangkan fikiran kita ke kampung sendiri buat seketika. Ambil contoh seseorang yang kita tahu yang dia sememangnya susah maka cubalah 'jadi' dia sekejap. Bayangkan situasi beliau dalam menghadapi suasana ini. Kemudian fikirkan pula penarik beca dibawah teriknya mentari, tukang rumah, pesawah, nelayan, pemungut barang lusuh, pencuci tandas, peminta sedekah dan lain lain lagi. Bagaimana mereka harus mengenyangkan si kecil dengan kenaikan demi kenaikan ini sedangkan 'gaji' mereka tidak dinaikkan walaupun 1%.

Maka penjawat awam sekalian tidak kira PTD, askar, polis, guru, fikir-fikirkanlah. Ambillah sedikit daripada kenaikan gaji anda dengan menghulurkan sedikit kepada mereka yang memerlukan. Berzakatlah! Walaupun nasib anda tidak sebaik PTD tetapi sedarlah ada orang yang lebih kurang bernasib baik daripada anda. Bantulah mereka yang memerlukan. Ia lebih baik daripada menambah hutang dengan membeli kereta baru!

No comments: