Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Thursday, May 31, 2007

Contoh ayat dan pemikiran seorang PTD ELIT

Contoh posting ini diambil dari laman web cari.com.my di ruangan Forum dibawah thread PTD. Teman sengaja post kat sini untuk dikongsi bersama-sama pembaca semua dalam menilai PTD yang dikatakan Unggul dan Elit. Tentunya contoh tulisan PTD ini yang menggunakan nama samaran mamaque umpama "nila setitik merosakkan susu sebelanga"............atau mungkin juga "nila sebelanga merosakkan setitik susu"!!

Kepada skim selain M terutama J dan F, silalah sabar sedikit jika membaca posting ini.

Dibawah ini ialah contoh peribadi PTD yang Unggul tersebut:


ramai bnar dengki ngan skim PTD ni

lawakla plak...penyakit PHD ni...lantak dan pi mampus la depa nak kata apa...yg penting ....skim PTD ..yg paling ramai org nak masuk....tiap tahun 40 -50 ribu yg apply... huhu...peduli apa aku org kata berlagak....yg penting aku ada kuasa la ni, aku boley rilek, 5 tahun aku dah naik M 48, X CAM SKIM LAIN,BERJANGGUT BARU NAIK J44,F44 SIAN la plak aku tengok..so bagila depa melepaskan geram kat sini... depa bising2 kat paper...tapi senyap jer..pasai PTD DAH KUASAI JPA, SPA, INTAN,MOF...haha so depa cam anjing menyalak bukit jelah...x berkudis skit pun....sian la lak aku tgk....tapi ok gak..ada gak hiburan kat sini...( hobi aku sekarang buli budak J41 DAN J44) aku suruh depa buat kerja dan maklumbalas...pastu aku letak nama aku sorang..so cepatla aku naik 48,,depa berjanggut la mati kat situ hahahahahaha ..x menyesal aku join PTD wpun dari latarbelakan teknikal.


Sekian, dipersilakan untuk komen. Yang nyata bola telah dilambung oleh PTD ini. Terpulang untuk pembaca melibas atau membiarkannya jatuh digelanggang sendiri.

Wednesday, May 30, 2007

PTD akhirnya masuk JPN

Walaupun menerima tentangan daripada para pendidik, nampaknya semua itu tidak dipedulikan. Membujur lalu, melintang patah... empayar perlu diluaskan. Biarlah apa yang orang lain kata, bebanan perlu dipikul demi kelangsungan 'PTD Unggul'.

Baru-baru ini atas desakan para pendidik, penempatan PTD di JPN telah ditangguhkan. Mungkin masih terdapat ruang untuk perbincangan supaya segalanya berjalan lancar demi mencapai matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Tidak dapat dipastikan apakah kesudahannya disebalik penangguhan tersebut atau ia sebagai strategi untuk menyejukkan keadaan.

Bermula bulan Jun 2007 akan berbondong-bondonglah para PTD melaporkan diri di JPN-JPN terpilih. Maka bersedialah JPN-JPN tersebut untuk menyambut 'rakan sekerja' mereka yang baru.

Seolah-olah tiada penghormatan bagi mempertimbangkan pandangan para guru jika usaha ini masih diteruskan seperti asal. Pihak Kementerian bagaikan tidak mempedulikan teguran yang telah disuarakan oleh para guru melalui saluran yang betul. Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah memberikan beberapa elaun baru kepada para guru, jawatan baru dan penubuhan Yayasan Tun Hussein Onn demi memartabatkan profesion perguruan.

Profesion perguruan bukan sekadar perkara yang di atas tadi, profesion perguruan termasuk juga pengurusan dasar dan polisi pendidikan samada di Kementerian,Jabatan serta Jabatan Pendidikan Negeri. Inilah intipati yang tersirat yang kurang difahami (atau buat-buat tak faham) oleh PTD dan pihak Kementerian. Namun begitu agenda tersirat PTD telah dapat dihidu oleh para pendidik. Agenda tersirat ini juga telah dihidu oleh sebahagian besar kakitangan awam yang lain.

Semoga para pendidik akan terus tabah menghadapi cabaran dalaman yang lebih besar ini. Profesion perguruan perlu diperkasa dan dipertahan. Selamat berjuang para guruku.

Monday, May 28, 2007

PTD Perlu Jawab Isu Ini!

Kebelakangan ini terdapat beberapa isu yang Teman rasa berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan yang mendapat kritikan daripada orang awam. Tentunya dasar-dasar kerajaan ini dirangka oleh pembuat dasar. Jawatan yang diperuntukan untuk membuat dasar tersebut adalah Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Gred PTD adalah M.

Teman sekadar kutip beberapa isu untuk dikongsi. Teman merasakan hanya PTD yang tahu dan perlu jawab isu-isu ini.

Isu 1: Diskriminasi Pengisisan Jawatan Bagi Penjawat Awam Selain M Yang Lulus PTK

Teman merujuk kepada kenyataan presiden CUEPACS, Omar Osman yang menyatakan bahawa terdapat penjawat awam yang telah lulus PTK sejak 2003 tetapi tidak dinaikkan ke pangkat yang lebih tinggi. Teman sekadar memberi contoh. kumpulan skim F yang telah lulus PTK pada 2003. Senarai nama telah keluar untuk ke gred 44 pada awal 2006 tetapi sehingga sekarang proses berkenaan terbantut atau 'dibantutkan'. Contoh kedua, pegawai di JPS dari skim J. Lulus PTK pada 2003. Hanya pada penghujung 2006 barulah jawatan ke gred 44 dilakukan. Pegawai PLV, skim J, yang lulus pada tahun 2004 tetapi sehingga sekarang masih menunggu untuk kenaikan pangkat ke gred 44. Pegawai gred DG, iaitu guru-guru kita, yang ini teman malas nak cerita sebab kesian sangat.

AKAN TETAPI SILA PERHATIKAN INI:

Pegawai Tadbir Diplomatik atau PTD, Skim M, yang mahu dikenali sebagai PTD Unggul yang Elit, mula menyertai JPA pada penghujung 2004 telah DINAIKKAN KE M44 pada 15 MEI** 2007!!!

Mari kita buat analisis. Golongan ini masuk kerja pada penghujung 2004. Untuk mengambil PTK mereka perlu sah jawatan. Proses pengesahan jawatan perlu melalui kursus induksi, peperiksaan dan sebagainya. Katakan mereka melengkapkan semua proses itu dalam masa setahun (tempoh sah jawatan antara 1-3 tahun), maka mereka akan disahkan pada penghujung 2005. Katakan pada awal 2006 mereka mengambil PTK. Result PTK paling awal akan keluar 9 bulan selepas peperiksaan. Maka pada penghujung 2006 mereka akan tahu result PTK sama ada lulus ataupun tidak. Daripada tempoh tersebut, mereka yang lulus mendapat kenaikan pangkat dalam masa TIDAK SAMPAI SETAHUN!! Wah, begitu cepat prosesnya!

Persoalannya: Adakah golongan PTD ini telah mendiskriminasikan penjawat awam selain PTD dalam isu kenaikan pangkat ini? Asalkan ianya PTD maka segalanya cepat. Asalkan ianya skim selain PTD maka ianya 'lambat'. Adakah ini disebabkan Kuota? Teman rasa tidak, Jika dikatakan kuota PTD itu banyak, skim F masih belum tepu. Begitu juga dengan skim PLV (skim J, yang masih baru). Jika begitu mengapa ini berlaku? PTD sila jawab.

Isu 2: Tony Pua:
Sektor awam tempat lambakan graduan Melayu menganggur.

Benda ini sensitif. Sensitif kerana ada perkataan 'Melayu' didalam kenyataan tersebut. Lebih lebih lagi beliau seorang cina dan lebih-lebih lagi beliau dari parti pembangkang. Akan tetapi Teman lebih realistik dalm perkara ini. Cuba kita perhatikan pengambilan penjawat awam dalam setahun yang mana
Teman juga berpendapat bahawa pengambilan yang terlalu banyak itu membayangkan kerajaan telah menolong mereka yang tidak dipandang oleh sektor swasta yang jika dibiarkan bakal menyakitkan mata memandang.

Tetapi dalam keseluruhan pengambilan tersebut, adakah ia merangkumi kesemua skim dan seimbang? Sudah tentu tidak.
Kebanyakannya dari jurusan yang tidak memerlukan banyak kapasiti otak untuk berfikir semasa di universiti. Lalu untuk diserapkan ke skim yang khusus tidak boleh kerana mereka ini tiada kemahiran contohnya IT, Kejuruteraan, Sains dan lain-lain. Maka hanya PTD sahaja pilihannya. Statistik pengambilan PTD dalam setahun adalah antara 200-300 orang setiap pengambilan. Cuba bandingkan dengan pengambilan J yang terbaru di Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan Tenaga Manusia dalam bulan Mei. Hanya 24 orang sahaja untuk kedua-dua jabatan. Tetapi Teman dimaklumkan jawatan kosong untuk J ini masih banyak kerana baru mendapat kelulusan perjawatan. Adakah diskriminasi berlaku lagi? Ataupun sememangnya kekosongan J itu 'perlu' dan kekosongan M sebenarnya 'tidak perlu' tetapi terpaksa dibuat 'perlu' bagi menolong golongan tersebut?

Walaupun begitu, Teman tidak mempersoalkan kerajaan dalam hal ini. Baguslah jika kerajaan menyediakan peluang kerja kepada orang ramai tetapi biarlah ianya tidak membazirkan wang pembayar cukai untuk diberikan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Teman percaya masih banyak skim selain M yang masih kosong.

Bagaimanapun Teman masih terbayang-bayang akan kata-kata seseorang di IPTA tentang PTD ini. Beliau menyatakan lebih awal dari Tony Pua tetapi ianya tidak secara rasmi. Rujuklah post Teman sebelum ini "PTD dulu dan PTD Sekarang" pada 23 April 07.

Cukuplah dua isu dulu untuk PTD jawab. Kita menyusul dengan isu lain selepas ini.




** telah diedit. tarikh asal ialah 15 JUN diedit kepada 15 MEI. maaf atas ralat tersebut.

Sunday, May 27, 2007

Sindrom Bisu PTD

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari tu masa Teman minum kat Kg. Baru ada seorang OKU datang mintak seringgit dua. Maka dapat lah OKU tersebut seringgit (je) sambil memberi isyarat tanda terima kasih. Bisu rupanya. Kesian jugak Teman menengoknya. Tapi terfikir jugak kalau-kalau OKU tersebut adalah sendikit yang diheboh-hebohkan sebelum ini. Tapi teman buang jauh-jauh perasaaan tersebut. Tak apalah, Teman prasangka baik terhadap OKU tersebut.

Bisu! Terlintas pulak di benak Teman yang PTD selama ini rupa-rupanya dijangkiti sejenis sindrom bisu. Sindrom bisu ini bukannya PTD tak boleh bercakap. Mereka petah berkata-kata. Mereka golongan elit. Tetapi yang Teman maksudkan sindrom bisu tersebut ialah bila mereka senyap sesenyap-senyapnya biarpun dikritik bertalu-talu oleh orang lain. Kira terbuktilah kehebatan PTD ni. Hebat tahan kritikan, pekakkan telinga sampai tak terjawab kritikan terhadap mereka.

Teman mulakan kritikan daripada golongan U (doktor) masa mereka masuk ke Kementerian Kesihatan dulu. Berapi-api golongan U kritik mereka. PTD senyap saja. Kemudian PTD nak masuk JPN pulak. Golongan cikgu riuh rendah pukul canang. Akhbar pulak perangat habis habisan supaya surat khabar laku. PTD senyap lagi. Kemudian professor yang gred JUSA di IPT tempatan bising-bising mahukan gred JUSA di universiti diselaraskan dengan gred JUSA yang 90% dikuasai oleh PTD di jabatan-jabatan kerajaan (Berdasarkan bilangan JUSA tahun 2006 iaitu 48 orang JUSA dari golongan bukan PTD dan 480 JUSA di kalangan PTD). Yang nak diselaraskan itu adalah perbezaan antara gred VU yang dinikmati PTD berbanding VK (khas) yang dinikmati profesor-profesor IPT. Pun PTD senyap jugak.

Hairan jugak kenapa mereka ini senyap. Sengaja tidak mahu layan atau tidak ada hujah untuk melawan. Atau sengaja membisukan diri sebab mereka 'comfirm' tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Walaupun begitu, sekurang-kurangya jawablah. Sepatutnya PTD sediakan hujah yang bernas. Kalau tak mahu jawab sendiri pun sebab terikat dengan peraturan penjawat awam, biarlah menteri berkenaan menjawab hujah yang disediakan PTD. Kesian Pak menteri yang jawab pun hanyalah setakat meredakan keadaan.

Meminjam kata-kata Civil Servant:

Hai.. PTD Hari-hari selamat dan diselamatkan ...........Selamat Hari PTD.

Wednesday, May 23, 2007

Gaji Naik, kakitangan awam teruja tetapi....si miskin?

Gaji kakitangan awam naik! 1.2 juta kakitangan awam tersenyum meleret dengan pengumuman kenaikan gaji dari 7.5 ke 35 peratus. Abang polis dan abang askar pula dapat 9 hingga 42 peratus. Bersyukurlah mereka kepada Allah atas rezeki yang dikurniakanNya dan diberi melalui kerajaan. Terima kasih kepada CUEPACS, terima kasih kepada PM, terima kasih kepada golongan yang terlibat dalam membuat kerja-kerja dalam memberi KENAIKAN gaji (bukan semakan) terutamanya staf JPA. Terima kasih semua termasuk PTD. Adalah diharapkan dengan kenaikan gaji ini akan memberi sedikit keselesaan dalam mengharungi kehidupan harian yang sentiasa dikelilingi 'kenaikan'.

Apa yang pasti kenaikan gaji ini tentunya sangat mengujakan penjawat awam termasuk PTD. Bezanya, perasaan teruja ini mungkin kurang sedikit bagi PTD. Ini kerana PTD hanya sempat merasa gaji 'kecil' paling lama 3 tahun. Selepas itu gaji mereka akan dinaikkan mencanak dan terus mencanak sehingga tahap tepu tertentu. Penjawat awam selain PTD terpaksa melalui tahap penyeksaan yang lebih lama. Jangan diharap kenaikan pangkat ke gaji yang lebih besar dalam masa 3 tahun sahaja. Memadailah dengan mengharapkan kenaikan gaji tahunan sahaja. Itu pun sekitar 50 - 100 hengget setahun.

Tapi itu bukan perkara pokok untuk dibincangkan. Apa yang hendak diutarakan disini ialah kenaikan gaji hendaklah diselaraskan dengan tanggungjawab yang lebih besar bagi semua kakitangan awam. Kakitangan awam hendaklah sedar bahawa di Malaysia ada 24 juta penduduk. Tolak 1.2 juta penjawat awam. Tolak 1 juta (katakan) orang kaya raya, millionare, billionare. Maka yang tinggal 21.8 juta penduduk malaysia. Oleh itu 21.8 juta penduduk ini tentunya tidak senang dengan kenaikan gaji ini. Mengapa?

Lihatlah, sebelum diumumkan kenaikan gaji lagi, harga barang sudah mula naik. Harga makanan sudah mula naik. Belum lagi diumumkan kenaikan Tol. Bila semua sudah naik tentulah kesannya amat ketara kepada mereka yang 21.8 juta ini. Bagaimana Si Miskin dapat menghadapi situasi ini. Mereka bukan makan gaji. Kalau kerja adalah seciput kalau tidak maka berlaparlah mereka.

Penjawat awam seharusnya gembira dengan kenaikan gaji tetapi jangan dilupa akan Si Miskin. Cuba layangkan fikiran kita ke kampung sendiri buat seketika. Ambil contoh seseorang yang kita tahu yang dia sememangnya susah maka cubalah 'jadi' dia sekejap. Bayangkan situasi beliau dalam menghadapi suasana ini. Kemudian fikirkan pula penarik beca dibawah teriknya mentari, tukang rumah, pesawah, nelayan, pemungut barang lusuh, pencuci tandas, peminta sedekah dan lain lain lagi. Bagaimana mereka harus mengenyangkan si kecil dengan kenaikan demi kenaikan ini sedangkan 'gaji' mereka tidak dinaikkan walaupun 1%.

Maka penjawat awam sekalian tidak kira PTD, askar, polis, guru, fikir-fikirkanlah. Ambillah sedikit daripada kenaikan gaji anda dengan menghulurkan sedikit kepada mereka yang memerlukan. Berzakatlah! Walaupun nasib anda tidak sebaik PTD tetapi sedarlah ada orang yang lebih kurang bernasib baik daripada anda. Bantulah mereka yang memerlukan. Ia lebih baik daripada menambah hutang dengan membeli kereta baru!

Saturday, May 19, 2007

Selamat Hari PTD atau PTD Hari-Hari Selamat

Para-para guru baru sahaja merayakan Hari Guru pada 16 Mei lepas. Bersempena dengan Hari Guru tersebut, Yayasan Tun Hussein Onn telah diwujudkan dengan dana RM200 juta + RM100 juta yang telah diperuntukkan untuk kemudahan para guru. Beberapa jawatan baru untuk guru juga telah diwujudkan dan kemudahan bagi guru-guru di pedalaman untuk menyambung pelajaran diperluaskan. Ternyata status guru sebagai profesion yang mulia perlu dipertahan.

Namun begitu, masih ada pihak yang ingin meloloskan diri di dalam lingkungan guru-guru tersebut. Telah jelas dan terang lagi bersuluh bahawa kemasukan PTD ke dalam JPN amat tidak dialu-alukan oleh guru-guru. Kepada yang berkhidmat di perkhidmatan awam, akan amat memahami mengapa kemasukan PTD ini ditolak mentah-mentah oleh para guru. Bukan semata-mata kerana jawatan, tetapi terdapat pelbagai sebab lain yang mendorong perkara ini berlaku. Oleh yang demikian, sehingga ke hari ini, kata putus masih belum dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan mengenai kedudukan perkara ini.

Difahamkan bahawa PTD-PTD baru untuk mengisi jawatan di JPN telah pun dilantik oleh JPA pada awal bulan 3 tahun 2007. PTD-PTD baru ini sedang ditempatkan di Kementerian Pelajaran sementara menunggu keputusan dibuat. Tindakan melantik secara tergesa-gesa oleh pihak berkenaan tanpa menunggu keputusan lanjut daripada kerajaan amat mendukacitakan. Seolah-olah pihak berkenaan tidak sabar-sabar lagi untuk meluaskan empayar mereka ke JPN.

Apapun PTD tentunya tidak risau kerana walauapapun terjadi, mereka akan kekal berdiam diri dan diselamatkan.

Untuk melihat pada isu terkini yang berkaitan, kita tidak perlu pergi jauh. Isu kebocoran parlimen merupakan satu contoh. Menteri yang berkaitan telah menyatakan bahawa Parlimen tidak mempunyai kakitangan yang mahir dalam bidang teknikal. Maknanya tiada jawatan teknikal (tiada keperluan agaknya).

Mengapa tidak ada kakitangan teknikal tersebut? Kerja siapa yang patutnya mewujudkan kakitangan itu? Siapa yang membuat perjawatan? Siapa yang meluluskan perjawatan?

Melalui laporan akhbar, kerja-kerja penyelenggaraan adalah dibawah pengurusan Parlimen sahaja. Wah, hebatnya mereka ini... Siapa pula yang duduk di pengurusan Parlimen? Pengurusan Parlimen diketuai oleh Ketua Pentadbir dan tidak syak lagi, golongan PTD yang menduduki jawatan ini. Memandangkan PTD merasakan bahawa merekalah yang terbaik (kerana selama 6 bulan berkursus mereka diwar-warkan merekalah yang terbaik) maka profesional lain tak perlu ada. Walaupun parlimen berkaitan dengan perundangan, pengamal undang-undang pun tidak layak di kerusi berkenaan.

Maka, masalah tiada penyelenggaraan berlaku kerana yang pakar tidak diletakkan pada tempatnya. Ini masalah polisi perjawatan. Mudah dan 'simple'. Tak perlu gaduh-gaduh. Sekali lagi PTD akan diselamatkan.

Saya percaya selepas ini, demi mengambil hati semua orang, beberapa jawatan akan diwujudkan. Tentunya jawatan ini hanya jawatan bawahan sahaja kerana walau apapun terjadi, jawatan tersebut tidak boleh lebih dari PTD atasan. Sekali lagi PTD yang selamat.

Selamat Hari PTD semoga PTD Hari-Hari Diselamatkan.

Wednesday, May 16, 2007

Santai:Pelan Pendidikan Nasional



Ini adalah satu fenomena baru yang melanda rakyat Malaysia sehingga kini. Selain daripada agenda ibubapa bagi menentukan career path anak-anak mereka, apakah pula agenda PTD di kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi dalam menghadapi situasi ini? Sebagai Penggubal dasar di Kementerian terbabit seharusnya PTD memikirkan satu cara bagi mengubah pelan tersebut kepada yang sepatutnya.

Thursday, May 10, 2007

Jurutera mula bersuara

Tentunya sistem 'sumber manusia' perkhidmatan awam di negara ini mempunyai kepincangan yang ketara dan semakin jelas dipertontonkan sejak akhir-akhir ini. Ada juga hikmahnya persatuan guru menolak kemasukan golongan tertentu ke dalam iklim profesion perguruan. Ini seterusnya menyemarakkan lagi profesion-profesion lain agar bangkit dan menunjukkan sikap ketidakadilan dan monopoli gelojoh di dalam perjawatan perkhidmatan awam.

Tahniah juga kepada pakar-pakar komputer kerana berhasil meningkatkan imej dan profesion mereka di JPA dengan menuntut apa yang selayaknya buat mereka. Perjalanan kita masih panjang dan berduri.

Pada 7 Mei 2007, para jurutera mula membuka bicara. Melalui presiden Institut Jurutera Malaysia, Datuk Keizrul Abdullah yang dipetik oleh akhbar The Star, beliau menyarankan kepada JPA agar mewujudkan lebih banyak jawatan kepada para jurutera di sektor awam dan meminta agar JPA membuat perubahan yang sewajarnya agar para jurutera dapat dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Setiausaha atau memegang jawatan yang lebih tinggi.

Persoalannya mengapa perkara ini ditimbulkan? Seperti yang telah sedia maklum, setakat ini tidak ada sesiapa pun yang bukan daripada golongan 'M'ereka akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha. Bekerjalah seikhlas manapun, bekerjalah sekuat manapun, bekerjalah seproduktif manapun anda tidak akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha jika anda bukan dari golongan 'M'ereka.

Benar....jawatan tersebut merupakan jawatan terbuka, jawatan terbuka bermaksud bahawa jawatan tersebut boleh diisi oleh sesiapa sahaja dari mana-mana skim perkhidmatan. Tujuan murni jawatan terbuka ini ialah untuk mendapatkan calon yang baik, hebat, berkarisma dan lebih penting pakar di dalam perkara yang berkaitan agar dapat memimpin Kementerian tersebut. Namun begitu adakah semangat dan pelaksanaan ini dituruti di dalam perjawatan kategori terbuka ini?

Kita perlu sedar dan memahami bahawa JPA merupakan organisasi yang berkaitan dengan 'HR'. Maka peranan JPA adalah amat besar di dalam menentukan calon-calon bagi jawatan tertinggi kerajaan. Oleh kerana yang akan membuat 'recommendation' mengenai calon-calon bagi jawatan ini adalah daripada golongan 'M'ereka, maka seolah-olah tidak ada yang layak melainkan golongan itu sahaja. Sebab itulah kita tidak dapat melihat para jurutera, pakar sains, arkitek, guru, doktor, ahli farmasi, dan lain-lain tidak dapat mengetuk pintu jawatan tersebut. Jangankan Ketua Setiausaha, jawatan Timbalannya pun disekat habis-habisan.

Memang tidak sesuai apabila pakar perubatan tidak dapat menjadi KSU di Kementerian Kesihatan, pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran, Jurutera di Kementerian Kerja Raya, pakar Sains di Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan lain-lain kementerian lagi.

Sebagai contoh, KSU di Kementerian Kesihatan (Mei 2007) ialah yang mempunyai latar belakang bidang Pengurusan Personnel, TKSUnya bidang M.P.A dan seorang lagi tidak diketahui. Ini hanyalah sebagai contoh di mana AHLI tidak diletakkan pada tempatnya. Apabila ini berlaku, maka tunggulah kebinasaan.

Perkara ini dibangkitkan dan perlu disedarkan bahawa keperluan perubahan amat dialu-alukan. Kita memerlukan kepimpinan berkaliber dan pakar untuk mendokong jentera kerajaan ke arah jalan yang lebih kompetitif.

Wednesday, May 9, 2007

Tahniah kepada Skim F di JPA..

Assalamualaikum...

Mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Teknologi Maklumat JPA kerana pengarah bahagian tersebut telah dinaikkan grednya kepada JUSA C dari F54. Perubahan gred ini adalah perubahan diatas kertas perjawatan JPA bagi bahagian tersebut bermula 1 April 2007. Kenapa saya beria-iya mahu mengucapkan tahniah ini? Bukankah kenaikan gred itu adalah suatu yang biasa sahaja?

Tidak. Kes ini adalah tidak biasa. Perubahan kertas perjawatan bahagian tersebut tidak diberikan secara kebiasaan. Ia diberi setelah bahagian tersebut bangun memperjuangkan haknya dan melalui satu proses yang panjang. Cuba bayangkan dalam 10 bahagian JPA termasuk INTAN, hanya bahagian Teknologi Maklumat sahaja yang pengarahnya bergred 54. Bahagian yang lain, pengarahnya adalah JUSA. Jika dikatakan bebanan bahagian tersebut tidak setara dengan Bahagian-Bahagian lain (sebab itu grednya adalah 54 sahaja), maka kenapa diberikan tarafnya sebagai satu Bahagian?. Tidakkah memadai ia dijadikan satu unit yang mana jawatannya tertingginya adalah gred 54 sahaja?

Jika bukan begitu, iaitu dengan mengambil kira bebanan pengarah semuanya sama, maka mengapa dan kenapa Pengarah Bahagian lain adalah JUSA dan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat adalah 54? Adakah kerana Pengarah bahagian lain semuanya daripada skim M tetapi bahagian teknologi maklumat daripada skim F? Jika jawapan kepada persoalan itu adalah "ya" maka keperluan untuk meminda dasar yang dibuat oleh golongan M adalah ditahap kritikal. Ini kerana kita tidak mahu melihat golongan bukan M didiskriminasi dengan begitu ketara.

Itu yang berlaku di JPA. Kita tidak tahu apa yang berlaku di tempat lain. Mungkin ada tetapi kesedaran untuk menuntut hak yang saksama masih ditahap yang rendah. Sebagai contoh, pegawai daerah dan jurutera daerah. Walaupun tanggungjawab mereka adalah menjaga satu daerah tetapi gred mereka berlainan. Maka timbul persoalan yang sama. Adakah kerana jurutera itu skimnya adalah J manakala D.O itu skimnya M, maka cukuplah J itu diberi gred 41 sahaja dan M pula mesti diberikan gred 54? Begitu tinggi jurang tersebut! Mungkin ada sesiapa yang ingin beri komen. Silakan.

Berbalik kepada isu asal, maka wajarlah apa yang berlaku di JPA dijadikan contoh untuk skim lain supaya memastikan hak masing-masing tidak dicabuli dan mendapat keadilan yang sewajarnya. Sekali lagi tahniah kepada Bahagian Teknologi Maklumat JPA diatas perjuangan anda dan anda telah membuktikan bahawa dasar yang dibuat olah M menimbulkan persoalan iaitu adakah M mementingkan golongan mereka sahaja?

Apa itu skim M??? Sendiri mau jawab lah...! Adios...

Monday, May 7, 2007

Selaras atau semak...?

Dua perkara yang berbeza...pelarasan gaji dan semakan gaji.

Akhirnya tanggal 7 Mei 2007, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menaikkan gaji kakitangan awam seperti yang dituntut oleh Cuepacs. Walaubagaimanapun kiraannya atau maklumat terperincinya akan bergantung kepada JPA.

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan mengenai perkara ini.. Pada akhir April, Cuepacs mengumumkan bahawa berdasarkan kepada laporan internet dan sumber-sumber maklumat Cuepacs sendiri terdapat kemungkinan bahawa kerajaan (JPA) akan membuat keputusan secara 'pukul rata' bagi kenaikan gaji. 'Pukul rata' ini bermaksud membuat pelarasan gaji dan bukannya semakan gaji seperti yang dituntut. Kemudian pada awal Mei, KPPA memberitahu bahawa semua maklumat tersebut khabar angin dan menasihatkan Cuepacs jangan melatah dengan berita dari internet.

Dan akhir sekali pada 7 Mei, PM telah memberikan reaksinya kepada media mengenai perkara berikut. Apa yang ingin dibangkitkan oleh Cuepacs sebenarnya ialah untuk mendidik sektor awam bahawa yang diperjuangkan bukannya kenaikan gaji tetapi semakan gaji.

Berdasarkan kepada scenario-scenario sebelum ini, pihak JPA sentiasa mengambil jalan mudah dengan memberikan pelarasan gaji dan bukannya semakan gaji. Ini mungkin berlaku kerana JPA mungkin kurang kepakaran untuk membuat semakan gaji, kurang rajin melakukan yang terbaik, atau hanya mementingkan agenda golongan tertentu sahaja.

Di dalam kekurangan kepakaran ini, umum mengetahui bahawa JPA merupakan bahagian polisi 'human resource' di dalam kerajaan. Secara logik akal, bahagian 'human resource' ini akan membuat segala urus tadbir berkaitan 'HR' dan tentunya menjadi pusat rujukan kepada semua kakitangan awam sehinggakan kementerian-kementerian lain dinasihatkan mewujudkan 'mini JPA' di kementerian masing-masing.

Namun kemusykilan mula timbul apabila berlaku banyak kepincangan di dalam dasar-dasar 'HR' yang dibuat JPA. Sendiri buat dasar dan kemudian sendiri ubah dasar... inilah yang berlaku dengan JPA sejak akhir-akhir ini. Perkara yang tidak pernah di dengar seperti BTNP mula kerap didengar.

Sebenarnya JPA tiada kepakaran di dalam membuat dasar berkaitan 'HR'. JPA hanya organisasi yang mengurus operasi 'HR' sahaja. Ini perkara biasa...perkara enteng dan ramai yang mampu memikul tanggungjawab tersebut. Tidak ada apa-apa yang istimewa dengan JPA. Jika JPA mempunyai kepakaran, tentu JPA tidak melantik sebuah entiti swasta untuk menjadi konsultannya dan menasihatkannya tentang 'HR' bagi organisasi kerajaan. Namun hasil kajian entiti swasta ini tidak diumumkan dan masih menjadi tandatanya.

Dengan perkembangan ini, keyakinan saya untuk melihat semakan gaji kakitangan tidak tinggi. Saya bersetuju dengan Zulkifli Abdullah bahawa semakan gaji merangkumi skim tangga gaji, semakan skim perkidmatan, elaun, kenaikan pangkat serta segala perkara berkaitan 'HR'. Jika bersandar kepada semakan gaji, mungkin skim yang berbeza mendapat kenaikan gaji yang berbeza, skim-skim sedia ada dirombak dan dikaji semula, prospek kerjaya dan kenaikan pangkat dikaji semula, latihan dalam perkhidmatan diperkasa dan elemen produktiviti dimasukkan sebagai teras.

Adakah perkara ini juga di dalam 'pertimbangan aktif' JPA? Saya kurang yakin kerana JPA mempunyai kepakaran yang amat terhad di dalam perkara ini. Jika begitu kita tentunya ingin tahu apakah keputusan JPA di dalam perkara ini. Sama-sama kita nantikan kesudahannya.