Buat pembaca budiman...

Coretan kami bukan sekadar untuk dipandang tetapi difikirkan.. Kami sekadar menegur cuma.. Jika ada yang terluka maka ampun dipinta..

Monday, April 23, 2007

PTD dulu dan PTD sekarang

Dipetik daripada segmen Rencana, UM 23 April 2007.

PERKHIDMATAN awam terawal di negara ini ialah Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat (SS) dan seterusnya diikuti oleh penubuhan Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS). Pada awalnya Perkhidmatan Awam SS dan FMS dimonopoli oleh orang-orang Eropah memandangkan British berpendapat orang Melayu tidak mampu melakukan kerja-kerja pentadbiran. Pada tahun 1921, SS dan FMS digabungkan menjadi MCS.

Skim perkhidmatan khas untuk anak-anak Melayu dalam pentadbiran awam hanya bermula pada tahun 1910 melalui penubuhan `Malay Assistant Service’. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada mulanya ditubuhkan sebagai institut elit bagi golongan bangsawan yang ingin menyertai perkhidmatan awam. Bagaimanapun, sedikit demi sedikit, MCKK membuka pintu kepada anak-anak Melayu yang berpotensi untuk diserapkan di dalam perkhidmatan awam melalui pengenalan `Malay Assistant Service’.

Selepas melalui beberapa penambahbaikan kepada skim sedia ada, secara rasminya MAS diperkenalkan pada tahun 1929 bagi memberi peluang kepada pegawai-pegawai Melayu yang cemerlang untuk menjawat gred jawatan lebih tinggi. P

ada tahun 1929, MCS ditubuhkan bagi menggabungkan Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada mulanya, MCS hanya dilantik di kalangan orang Eropah yang berpendidikan tinggi.

Walau bagaimanapun, selepas perang dunia pertama, MCS menjadi kurang kompetitif berbanding ‘Home Civil Service’ atau ‘Indian Civil Service’ kerana gajinya sedikit. Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai dan sebagai langkah penjimatan, sedikit demi sedikit pegawai MAS yang layak dan berkaliber diserapkan ke dalam MCS.

Penaklukan Jepun pada 1941 telah membantutkan sementara perkembangan perkhidmatan awam di Malaya pada ketika itu. Walau bagaimanapun, pihak pentadbiran tentera Jepun memanggil semula pegawai MCS berketurunan Melayu untuk mentadbir daerah-daerah yang tidak lama selepas penaklukan tersebut untuk memastikan urusan pentadbiran awam dapat dijalankan dengan lancar.

Selepas Jepun menyerah kalah, perkhidmatan awam di Malaya dipertingkatkan sedikit demi sedikit. Proses penambahbaikan perkhidmatan awam Malaya itu turut melalui peristiwa-peristiwa penting seperti darurat, penubuhan Malayan Union, penubuhan Tanah Melayu dan perisytiharan kemerdekaan.

Perkhidmatan Luar Negeri (Foreign Service) bermula pada tahun 1954 apabila Bahagian Hubungan Luar ditubuhkan di bawah Pejabat Ketua Setiausaha Malaya. Para peringkat permulaan, dua orang pegawai MAS yang telah diserapkan ke MCS, telah dilatih untuk menjadi pegawai perkhidmatan luar negeri dan dihantar ke United Kingdom di bawah kelolaan British Foreign Office untuk menjalani latihan.

Selepas penubuhan Malaysia, perkhidmatan luar negeri telah digabungkan dengan MCS untuk menjadi Malaysian Home and Foreign Service dan seterusnya ditukar kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) Malaysia.

Sebagai penutup, buku ini sesuai dan wajar untuk dibawa oleh pegawai-pegawai muda PTD. Kandungan buku ini dapat menambah pengetahuan dan pemahaman mereka tentang hala tuju PTD pada masa dahulu, sekarang dan hadapan. PTD wajar menghayati petikan laporan Persidangan Perlembagaan Tanah Melayu di London pada tahun 1956 seperti berikut:

‘‘Perkhidmatan awam yang cekap dan berketerampilan merupakan asas kepada pentadbiran kerajaan yang berkesan.

‘‘Perkara ini terpakai bagi setiap peringkat penggubalan Perlembagaan, khususnya pada ketika berhadapan dengan perubahan politik yang mendadak.

‘‘Seorang menteri itu seharusnya menerima pakai maklumat dan syor/saranan daripada pegawai yang berpengalaman sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu dasar.

‘‘Mereka juga seharusnya boleh bergantung kepada pegawai-pegawai mereka, untuk melaksanakan dasar yang telah diputuskan tersebut dengan penuh ketaatan, cekap dan pantas.

‘‘Oleh yang demikian, perkara utama dalam memastikan kecekapan pentadbiran kerajaan ialah dengan mengiktiraf dan mempertahankan perkhidmatan awam yang berkecuali.’’

Judul: Service Par Excellence
Pengarang: Wan Mansor Abdullah
Penerbit: INTAN
Muka surat: 417 halaman
ISBN: 9833109063


Ulasan saya:

Dapat dilihat bahawa perkhidmatan PTD pada suatu masa dahulu menunjukkan perbezaan yang ketara dengan perkhidmatan PTD yang ada sekarang. Kenapa?

Pertamanya ialah PTD pada masa dahulu melalui pelbagai zaman yang berbeza. Ini akan mewujudkan situasi pentadbiran yang berbeza di sepanjang zaman tersebut. Bermula dengan pendudukan British , kemudian peristiwa WW1 dan 2, pendudukan Jepun di T.Melayu diikuti pengaruh Komunis dan seterusnya perjuangan menentang penjajah sehinggalah kemerdekaan diisytiharkan. Dapat dilihat bahawa perkhidmatan PTD pada masa itu benar-benar dalam situasi getir dan mencabar. Apatah lagi jiwa orang-orang melayu pada masa itu diruntun oleh semangat untuk menjadikan bangsa dan negara dibebaskan daripada pengaruh penjajah. Maka peluang yang ada tersebut digunakan sepenuhnya untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan negara. Selain itu, pemilihan orang melayu pada zaman British bagi melayakkan mereka mentadbir, adalah amat ketat. Mereka haruslah setanding dengan pegawai-pegawai british pada masa itu bagi menghasilkan satu perkhidmatan yang cekap dan berkualiti.

Kedua, dari sudut lain pula, JIWA PTD baru/junior pada zaman ini tidak sama dengan PTD terdahulu. PTD hari ini kebanyakannya tidak merasai kepayahan orang dahulu. Kita merdeka 50 tahun dahulu. Jika diambil umur PTD yang akan pencen pada tahun ini (jika tidak dikontrakkan) maka beliau baru berumur 6 tahun semasa merdeka. Apalah sangat yang dirasai oleh budak umur 6 tahun pada tarikh tersebut. Sebab itu PTD pada hari ini majoritinya melalui zaman yang senang, aman dan suasana yang berbeza. Saya berani katakan bahawa jiwa PTD baru pada hari ini adalah jauh berbeza dengan jiwa semangat kerja untuk agama, bangsa dan negara oleh PTD terdahulu. PTD pada hari ini kebanyakannya mereka yang "dibantu" oleh kerajaan (walaupun dikatakan menjalani proses pemilihan "ketat") untuk mendapatkan kerja yang mana mungkin mereka dipandang sebelah mata oleh pihak swasta. Oleh itu, khidmat mereka bukan kerana memperjuangkan agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada "cari makan".

Sebab itu, jangan bandingkan PTD dulu dan PTD sekarang. Persoalannya adakah PTD sekarang memenuhi semangat Laporan Persidangan Perlembagaan Tanah Melayu 1956 tersebut?Mungkin tidak.


p/s: Maafkan saya jika petikan ini terlalu kasar bunyinya. Tapi mungkin ada benarnya kerana masalah pengangguran yang begitu ketara menyebabkan mereka yang tidak bernasib baik ini diambil bagi menyelamatkan imej negara daripada lambakan penganggur.

Sekadar meminjam kata-kata seseorang di IPTA tempatan:

"PTD zaman sekarang boleh diibaratkan sebagai barang lusuh yang dipungut kerajaan, dikitar semula, dijadikan produk hiasan dan diletakkan dimana-mana sekadar memenuhi ruang. Apabila orang bertanya tentang hiasan itu maka akan tetap dikata bahawa itu adalah barang lusuh yang diproses semula. Yang menjadi masalah ialah barang lusuh itu tidak sedar bahawa ia asalnya lusuh dan hanya diperlukan untuk memenuhi ruang. Maka dengan angkuhya mereka berkata, hanya akulah saja yang mampu mencantikkan ruang ini ".

Wednesday, April 18, 2007

Satu lagi reaksi terhadap artikel UM 17 April

Seorang aktivis 'penentangan terhadap PTD' dari Kedah memberi reaksi terhadap laporan UM 17 April 2007. Pendapat beliau menambahkan lagi luka di hati PTD yang pinangannya sentiasa ditolak oleh 'gadis-gadis cantik dan kaya' di sektor awam. Lalu, bolehkah PTD muhasabah diri mereka?

Kenaikan pangkat PTD perlu direvolusi semula

Pendapat

ISU bantahan daripada kumpulan pendidik terhadap ‘gangguan’ pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) ke wilayah mereka bergema lagi. Utusan Malaysia semalam menyiarkan suatu bantahan yang boleh disifatkan sebagai hujah paling kuat setakat ini, iaitu pandangan daripada kumpulan 30 bekas pengarah pelajaran kementerian dan negeri, diketuai oleh Datuk Omar Hashim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran.

Isu pengisian jawatan-jawatan tinggi dalam mana-mana jabatan kerajaan ini sememangnya menjadi duri dalam daging. Ia sedikit sebanyak mengurangkan motivasi para kakitangan dari sektor perkhidmatan lain yang bukan PTD untuk menyumbang khidmat dengan lebih kuat kepada negara. Mereka sedikit kecewa apabila terpaksa menunggu begitu lama untuk berpindah tangga kenaikan sama ada dari 41 ke 44, dan seterusnya.

Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam sektor pendidikan. Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa terdapat para doktor yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan selama sepuluh tahun masih lagi berada di tangga U41.

Dalam laporan yang sama, diberitakan bahawa kerajaan Singapura berminat untuk membuka perjawatan khususnya bagi para doktor dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Kita semua tahu bahawa untuk memasuki bidang kedoktoran, para pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan melalui penyaringan yang sangat ketat. Setelah belajar bertungkus-lumus, mereka pula akan menghadapi proses praktikum yang amat ketat sebelum mendapat kebenaran menjalani profesion mereka. Mereka bekerja berasaskan on call, tanpa mengira masa, siang atau malam.

Berbanding dengan para penjawat PTD ini, mereka biasanya direkrut daripada pelajar jurusan Sastera atau Kemanusiaan di universiti tempatan. Setelah dilatih dalam tempoh tertentu, maka mereka akan bekerja berasaskan waktu pejabat. Tepat loceng berbunyi jam lima petang mereka akan keluar pejabat dan mempunyai masa bersantai-santai di rumah.

Namun demikian, proses kenaikan pangkat mereka amat luar biasa. Setelah tiga atau empat tahun berada dalam tangga gaji 41, mereka akan terus dinaikkan ke tangga 44. Belum sampai 10 tahun berkhidmat, mereka telah mencapai 48, berbanding kakitangan awam dari sektor lain yang mungkin sampai pencen pun masih lagi berada di tangga 44 atau 48.

Apakah alasan kenaikan yang luar biasa cepat ini jika bukan disebabkan konspirasi PTD sesama mereka? Adakah kecemerlangan kerja dan wibawa yang menjadi sandaran kenaikan mereka?
Jika sebelum ini ada pandangan mengatakan bahawa kumpulan ini jumlahnya sedikit dan membentuk kumpulan elitis dalam perkhidmatan awam, sehingga digelar anak emas kerajaan. Persoalannya, adakah disebabkan jumlah yang sedikit maka mereka perlu dinaikkan pangkat dengan begitu pantas? Bilangan doktor tempatan juga sedikit, mengapa mereka tidak mendapat kenaikan secepat PTD?

Memetik semula kata-kata Omar disebabkan kenaikan pangkat yang cepat inilah menjadikan kumpulan PTD sebagai kumpulan yang menghidap sindrom Superiority Complex. Sindrom ‘mahkota yang terlalu berat untuk diletakkan di kepala’ ini, menurut seorang kawan, menjadikan seseorang pegawai PTD menanggung tugas yang tidak sepadan dengan kewibawaannya. Sebahagian mereka gagal menunjukkan sikap atau wibawa yang sepatutnya apabila bermesyuarat dengan para pegawai tinggi di dalam negeri atau luar negara.
Perkara ini sudah menjadi tradisi, dan orang-orang politik nampaknya semacam takut untuk mengusik kumpulan PTD sehingga tidak pernah menyentuh perkara ini di Parlimen. Maka sudah tiba masanya urusan kenaikan pangkat ini direvolusi semula. Orang politik perlu mempunyai keazaman yang tinggi kerana mungkin hanya dengan keazaman politik peringkat tinggi sahaja yang mampu mengubahnya.

Sudah pasti jika dibiarkan dan tidak disemak semula, ia akan menjadi barah kepada negara. Misalnya dengan tawaran yang menarik dari Singapura, bukan sahaja doktor, malah jurutera atau guru yang berkualiti pun mungkin akan berhijrah ke sana.
Pada masa itu, bukan soal patriotik lagi yang akan kita hujahkan. Kadang-kadang, orang akan berhijrah ke padang lain yang lebih hijau, walaupun hati mereka sangat ingin merasa walaupun hujan batu di tempat sendiri.

– ZAINUDIN OMAR,
Sintok, Kedah.

Sekumpulan 30 Mantan orang kuat DG mula buka silat!

Akhbar UM semalam, 17 April 2007 telah menyiarkan pendapat 30 orang bekas ketua pengarah, Timbalan ketua Pengarah, Pengarah JPN Negeri dan lain-lain yang diketuai oleh Datuk Omar Hashim. Ulasan mereka adalah berdasarkan pengalaman dan sejarah perkidmatan mereka dalam bidang kerajaan dan pengalaman menghadapi 'ancaman pencerobohan' PTD ke kawasan mereka. Kita ikuti petikan daripada UM:


30 bekas pengarah bantah PTD

Pendapat

KAMI yang menandatangani surat ini berasa terdesak dan terpanggil untuk menyuara perasaan dukacita kami atas isu cadangan Kementerian Pelajaran membawa masuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Isu ini menjadi kontroversi besar dan telah ditolak oleh persatuan dan badan-badan perguruan yang mewakili lebih 500,000 orang guru-guru seluruh negara.

Kami sangat faham dan simpati dengan mereka kerana kami adalah pegawai-pegawai kanan yang pernah mentadbir dan mengurus pendidikan selama puluhan tahun, baik sebagai ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah, pengarah bahagian di kementerian ataupun sebagai pengarah-pengarah jabatan negeri. Oleh itu kami bukanlah bercakap mengikut sumber kedua atau ketiga tetapi daripada pengalaman yang meluas dan mendalam dalam soal pengurusan pendidikan secara hand-on di tanah air.

Sejak 50 tahun pentadbiran sistem pelajaran negara telah diurus dengan cekap dan berkesan diterajui bersama di kementerian dan sepenuhnya di negeri oleh pegawai pelajaran dan hasilnya diakui UNESCO sebagai sistem bertaraf dunia dan dijadikan contoh kepada negara lain. Hakikat ini menafikan persepsi PTD bahawa pihak pegawai pelajaran kurang cekap dalam bidang pengurusan, kewangan dan pembangunan pelajaran dan belum pernah satu kajian empirikal dilakukan untuk menguatkan hujah negatif PTD ini.

Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang integrated atau bersepadu dalam erti kata ia ditadbir oleh dua kelompok perkhidmatan pengurusan iaitu pentadbiran am oleh PTD dan pengurusan profesional oleh pegawai pelajaran (PP). Ada lain-lain kementerian yang juga berbentuk kementerian integrated antaranya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian. Dari rekod pengalaman sejak zaman Allahyarham Aminuddin Baki lagi, operasi kementerian integrated ini khasnya Kementerian Pendidikan tidak berjalan secara memuaskan. Sering timbul pergeseran di antara PTD dan kumpulan PP dalam soal-soal perbezaan cara perlaksanaan dasar, perspektif pengurusan dan usaha perluasan sayap PTD mengambil alih jawatan-jawatan empuk yang dipegang PP.

Di samping itu, PP selalu berasa pegawai-pegawai PTD bersikap meninggi diri dan memandang rendah walaupun gred jawatan kadang-kadang tidak seberapa apabila melayani pegawai-pegawai kanan bahagian profesional. Ini disebabkan pegawai-pegawai PTD ini tahu bahawa mereka memegang kuasa di dalam bidang kewangan, sumber manusia dan mereka mendapat sokongan daripada agensi pusat. Sikap ‘‘Superiority Complex’’ PTD inilah yang selalu mengeruh hubungan di antara dua golongan itu.

Bidang kewangan dan sumber manusia merupakan portfolio yang amat penting dan amat strategik dalam sesuatu organisasi dan penyandangnya memegang kuasa dan pengaruh yang amat besar. Oleh itu, berdasarkan carta yang dicadangkan kita menjangka pengarah pendidikan akan terpaksa tunduk kepada pegawai-pegawai PTD yang akan cuma menerima arahan daripada KSU ataupun JPA. Ini kerana mereka tahu peningkatan karier mereka atau masa depan periuk nasi mereka bergantung di situ. Dengan cara bypassing pengarah pendidikan, mereka akan melemahkan JPN dan seterusnya kredibiliti pengarah sendiri akan terhakis. Jelas di sini, kita seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman suasana ketidakharmonian yang wujud dalam kementerian apabila kerajaan memanjangkan bentuk dan sistem itu ke negeri dengan menjadikan JPN seolah-olah satu mini kementerian bersepadu dengan segala masalah-masalahnya.


Usaha PTD mengembangkan sayapnya di kementerian dan Jabatan Pendidikan sudah digerakkan sejak 1970-an lagi, tetapi telah dibantah keras oleh pihak PP. Puluhan memo telah dikirim kepada kerajaan, walaupun beberapa jawatan penting terpaksa kehilangan juga seperti bahagian biasiswa, bahagian luar negeri, jabatan penuntut-penuntut seberang laut, bahagian buku teks dan akhir-akhir sekali (paling buruk dan mendukacitakan) Wakil Tetap UNESCO. Usaha-usaha mengembang sayap ke JPN telah berjaya disanggah sehingga hari ini. Anehnya, semua jawatan yang PTD mahu rebut daripada perkhidmatan profesional adalah jawatan-jawatan naik pangkat ataupun jawatan-jawatan yang dicadang untuk dinaik pangkat. Juga apabila PTD masuk berkhidmat semua pegawai dan staf sokongan akan turut diperuntukkan sebagai pegawai penyokong.

Umpamanya, dalam struktur baru JPN, dengan melonggokkan beban tugas yang dulu dijalankan oleh PP, segala pegawai sokongan telah diletakkan termasuk pegawai akauntan sebagai menjustifikasi naik pangkat bagi PTD. Dari segi pandangan kami, cara ini tidaklah adil kerana dengan perjawatan yang lengkap seperti itu, Jabatan Pendidikan tidak perlu mempunyai seorang pegawai PTD. Malahan seorang pegawai kanan pendidikan yang arif mengenai pengurusan pendidikan dan juga mendapat latihan yang secukupnya dan tahu berkenaan environment kerja dapat menjalankan kerja itu dengan lebih licin.

Tentang kedudukan jawatan-jawatan naik pangkat bagi pegawai-pegawai pendidikan adalah tidak benar mengatakan kemasukan pegawai-pegawai PTD tidak merugikan peluang naik pangkat bagi pegawai PP. Sebenarnya, peluang naik pangkat bagi PP amat kecil sekali apabila dibandingkan dengan nisbah naik pangkat pegawai PTD kerana bilangan pegawai PP begitu besar sekali.

Akhir sekali, kami meminta kerajaan tidak harus memandang ringan seruan dan suara hati masyarakat guru yang bilangannya dan kepentingannya begitu besar. Mereka memain peranan penting dalam masyarakat, dan telah menjadi penyokong yang setia kepada kerajaan dan parti kerajaan. Sekarang ini pun, ramai daripada mereka, baik yang berkhidmat mahupun yang bersara memendam perasaan ‘‘kecil hati’’ dan dukacita yang amat atas beberapa program baru dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan. Kami berharap hasrat kerajaan terkini ini tidak akan menambah luka di hati mereka.

* KUMPULAN 30 bekas Pengarah Pelajaran Kementerian dan Negeri diketuai oleh Datuk Omar Hashim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran.

Tuesday, April 10, 2007

PEGAWAI PTD NAIK PANGKAT TANPA MERIT, PEGAWAI BUKAN PTD DINAFIKAN PELUANG KENAIKAN PANGKAT.

Surat ini dicopy daripada website Dato' Shahrir Samad:

http://www3.uitm.edu.my/mitasa/ptd/pegawai%20ptd%20naik%20pangkat%20tanpa%20merit.htm




Y.B. Dato’ Shahrir Samad,
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara,
Mantan Pengerusi BBC,
Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

PEGAWAI PTD NAIK PANGKAT TANPA MERIT, PEGAWAI BUKAN PTD DINAFIKAN PELUANG KENAIKAN PANGKAT.

Saya mungkin mewakili pegawai Perkhidmatan Awam dari skim perkhidmatan bukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ingin memaklumkan suatu fenomena sedih yang telah melanda profesion Perkhidmatan Awam kini iaitu berlaku pengisian jawatan dan kenaikan pangkat sewenang-wenangnya dalam perkhidmatan PTD tanpa mengira merit dan kelayakan. Ini sangat bercanggah dan membelakangkan semangat profesionalisme perkhidmatan awam.

Ini dikatakan berlaku berikutan dengan penyusunan semula struktur organisasi agensi-agensi kerajaan di bawah SSB dan kemudian SSM. Alasan pihak berkenaan ialah disebabkan tidak cukup pegawai untuk mengisi kekosongan jawatan Gred M44 dan Gred M48 mahupun M52 bagi perkhidmatan PTD di seluruh kementerian dan agensi-agensi Kerajaan seluruh negara. Berikutan itu maka ramai pegawai baru “setahun jagung” dan “Green Horn” Gred M41 dan termasuk yang belum disahkan dalam jawatanpun dilantik naik pangkat ke gred-gred tersebut, Walaupun kebanyakan KSU dan ketua jabatan meragui keupayaan pegawai tersebut mengendalikan tugas dan tanggungjawabnya di tahap jawatan itu.

Maka sungguh beruntung dan bertuah pegawai tersebut. Sungguh rugi dan menyesal kami yang bukan dalam skim perkhidmatan PTD. Kita lihat ramai rakan-rakan yang telah berkhidmat lebih 10 tahun malah 20 tahun, dengan penuh dedikasi dan cemerlang dalam perkhidmatan bukan PTD masih berada di takuk gred 41 sehingga hari ini dan sehingga ramai yang telah pencenpun. Kami rasa dianaktirikan oleh Kerajaan.

Tempoh 10 tahun adalah merupakan jangkamasa yang munasabah untuk seseorang anggota dilantik kerana telah mendapatkan kemahiran/latihan dan pengalaman yang mencukupi yang diperlukan bagi sesuatu jawatan sudah sewajarnya dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Sekadar sebagai contoh, ramai ustaz Pegawai Agama Islam gred S41 - tetap “sabar” dan giat berdakwah pada gred yang sama hingga pencen; Pegawai Belia dan Sukan - walaupun ramai melahirkan jaguh sukan dan belia berketrampilan; Pegawai Penerangan - giat berkempen mempertahankan dasar Kerajaan dan pemerintahan yang ada, masa pilihan raya merekalah jaguh di barisan hadapan menghadapi pembangkang; Pegawai Pertanian, Pegawai Penyelidik, Pegawai Ekonomi dan sebagainya yang bukan PTD, adakah mereka tidak berjasa kepada negara? Adakah hanya PTD sahaja yang telah memajukan Malaysia ini?

Walaupun ada segelintir kami yang dilantik memangku gred 44 berikutan penyusunan semula organisasi agensi masing-masing, tetapi atas dasar ‘bukan untuk tujuan naik pangkat’. Ada yang dilantik memangku gred 44 ‘bukan untuk tujuan naik pangkat’, diarah menjalankan tugas gred 48 pula. Mengapa tidak terus dilantik sahaja ke jawatan tersebut? Dari segi kelayakan memang mereka lebih daripada layakpun dari segi pengalaman dan profesionalisme berbanding dengan pegawai PTD yang baru berkhidmat.

Bila pelaksanaan SSM dilaksanakan pula, ramai pegawai bukan PTD yang dah tua ini kantol dalam peperiksaan dan kursus PTK untuk syarat naik pangkat. Sedangkan sebelum syarat PTK dikuatkuasakan, ramai PTD telah berjaya diloloskan untuk naik pangkat tanpa menghadapi PTK.

Kelulusan bagi penambahan pegawai dalam penyusunan semula perkhidmatan bukan PTDpun sebenarnya dikawal oleh pihak berkenaan di kalangan PTD sehingga tidak ada ruang mencukupi bagi agensi perkhidmatan lain untuk memohon menambah pegawai walaupun ia amat diperlukan bagi memenuhi kehendak tugas perkhidmatan tersebut. Malah banyak agensi ‘dipaksa’ menerima PTD sebagai Ketua Jabatan kalau inginkan penyusunan semula ‘diperkenankan’.

Kalau benar fenomena ini berlaku dalam Perkhidmatan Awam kita, benarlah apa yang dinyatakan dalam laporan IMP yang berpusat di Geneva yang mengeluarkan ”Annual World Competitiveness Report” yang meletakkan kedudukan Malaysia dari segi kedudukan ekonomi dan daya saing jatuh di tangga tercorot yang amat mengecewakan.

Kami tidak menafikan PTD adalah golongan “elit dan berprestij” dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (itu yang sering dilaung-laungkan) tetapi persoalannya mengapa harus semacam ada perbezaan “antara dua darjat” dalam Perkhidmatan Awam dalam sebuah negara merdeka yang “World Class” ini?

Seandainya benar ini berlaku, kami harap pihak Kerajaan, khususnya Y.A.B. Perdana Menteri sebagai bekas PTD dapat mengkaji perkara ini, suatu fenomena yang tidak berlaku di negara lain di dunia modern bertamadun hari ini. Benar rezeki itu ketentuan Tuhan, tetapi banyak kerosakan yang berlaku di dunia adalah akibat serakah dan tangan manusia yang tidak menjalankan amanah Tuhan dengan ertikata yang sebenarnya.

Kami yakin Y.B. Dato’ berupaya membongkar perkara ini. Kami percaya sekiranya perkara ini dapat dibahaskan di Parlimen, ia akan tercatat dalam sejarah Perkhidmatan Awam kita sebagai sejarah seluruh penjawat awam Malaysia dan kenangan manis perjuangan Y.B. Dato’ sebagai pembela nasib rakyat.

Sekian, terima kasih.

Pegawai Kerajaan Malaysia Kelas Tiga Asal Johor Baru, Kini Bertugas Di Putrajaya

Salinan :
i. Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
ii. Y.B. Encik Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang, Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia (Salinan ini hanya akan dihantar selepas Dato' membawa isu ini ke Parlimen).
iii. Presiden CEUPEC, Malaysia.

PTD perlu bekerja lebih bermaruah: Luahan seorang Pembaca BH

Penyakit segelintir PTD. Sebelum parah perlulah kita ubati. Sila ikuti luahan rasa seorang yang bernama IZA (nama samaran).

Biarpun pedih tapi itulah hakikatnya. Pegawai tinggi kerajaan khususnya Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) harus bekerja dengan lebih bermaruah. Penyusunan semula organisasi kerajaan dengan wujudnya kementerian baru, nyata pemerintah mahukan perkhidmatan yang lebih efisien. Saya dapat rasakan haluan yang ingin dibawakan oleh Perdana Menteri dengan moto bekerjalah bersama-sama beliau. Tetapi yang nyata pegawai tinggi kerajaan begitu sinonim dengan moto `bekerjalah untuk saya'. Semakin besar pangkat dimiliki, maka pegawai bawahan perlu lebih menjulang kedudukan mereka.

Apa yang parah, semakin dekat hari bersara semakin tidak dihiraukan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul. Kalau sesebuah organisasi kerajaan pincang, patutkah kita persalahkan kerani, pembantu am rendah atau jurutaip yakni kumpulan sokongan? Adakah mereka mempunyai peranan yang besar dalam menentukan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan lebih berkesan. Sudah tentu kita tahu jawapannya `tidak'. Orang yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menggerakkan sesuatu organisasi kerajaan ialah ketua yang terdiri dari kalangan PTD.

Kami kumpulan sokongan hanya membantu menjalankan tugas berdasarkan arahan. Sejak kebelakangan ini saya merasa begitu muak dengan kerenah PTD. Saya pernah bekerja dengan seorang ketua wanita yang begitu kreatif, bijak merangka hala tuju organisasi dan kehendak pelanggan, sama-sama turun padang menyelami masalah yang dihadapi oleh kakitangan, menangani masalah dan memastikan masalah yang sama tidak akan berulang, bijak berkomunikasi dengan kakitangan dan paling penting pantas dalam membuat keputusan.

Malangnya ketua begini tidak banyak dalam perkhidmatan awam. Sewaktu bekerja dengan beliau, saya rasakan pejabat suatu tempat yang meriangkan untuk dituju. Bekerja hingga lewat malam atau pada hari minggu tiada masalah. Bagaimanapun kenikmatan bekerja hilang kerana PTD yang menggantikan tempat beliau mempunyai sikap yang berlawanan. Bukan saya sahaja yang mengalami masalah demikian, malah rakan-rakan yang lain juga sering mengeluh dengan sikap PTD yang malas bekerja tetapi hanya tahu menjaga status diri hinggakan tujuan asal datang ke pejabat diabaikan.

Antara sikap yang memualkan ialah:
1. Lembap membuat sesuatu keputusan.
2. Tidak kreatif sebaliknya sering menimbulkan kerenah birokrasi.
3. Tidak tahu selok-belok tugas yang dilaksanakan oleh kakitangan bawahan.
4. Lebih suka mengarah dan menyerahkan tugas kepada pegawai bawahan yang sepatutnya di bawah tanggungjawab mereka.
5. Sering memberi perhatian kepada hal remeh-temeh.
6. Kurang menghadiri kursus-kursus penting yang diadakan di sekitar pejabat, sebaliknya lebih gemar menghadiri kursus yang dibuat di pusat-pusat peranginan.
7. Mahu diri diraikan oleh kakitangan secara berlebihan malah bersikap tinggi diri jika bertemu kakitangan bawahan.
8. Tidak pernah menyalahkan diri sendiri jika membuat kesilapan malah jika kesilapan dibuat oleh kakitangan bawahan, maka cacian akan dilemparkan sewenang-wenangnya.
9. Kurang minat bekerja apatah lagi hari bersara semakin dekat.
10. Membuang masa dengan meleter perkara yang bukan-bukan.

Rata-rata masalah yang diutarakan seperti kelewatan memproses permohonan, perkhidmatan kaunter yang tidak memuaskan, kesilapan dalam menjalankan tugas dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap seseorang ketua yang kurang bijak mengendalikan organisasi. Kita mengharapkan perkhidmatan bertaraf dunia, tetapi kita masih dinaungi oleh ketua yang malas. Golongan PTD patut bekerja bersesuaian dengan imbuhan yang dinikmati. Kalau Perdana Menteri mengaku beliau adalah hamba nombor satu negara, apatah PTD yang hanya seorang pegawai kerajaan. Saya cadangkan diwujudkan badan bebas untuk menangani masalah ini umpamanya menyediakan talian khas aduan, mengesan kepincangan sesuatu organisasi melalui permohonan pertukaran oleh pegawai bawahan yang kerap dilakukan di sesuatu pejabat, mengadakan sistem penilaian prestasi kerja terhadap seseorang ketua oleh kakitangan bawahan dan mengadakan sesi kaunseling kepada pegawai yang dilaporkan bermasalah. Kepada ketua yang berkhidmat dengan cemerlang, syabas diucapkan. Kepada ketua-ketua yang merasakan masih sayangkan kerusi yang diduduki, cubalah sekurang-kurangnya hayati Tonggak 12. Paling tidak, buatlah keputusan bijak iaitu bersara awal supaya tidak menyusahkan orang lain yang betul-betul berniat mencari rezeki halal.

- IZA MOHAMAD, Kuala Lumpur.

Thursday, April 5, 2007

PTD monopoli sektor awam: Satu pandangan menarik dari pembaca BH

PTD monopoli jawatan tertinggi kerajaan

PERDEBATAN berkaitan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih panas dan saya kira amat sesuai pada waktunya isu ini menjadi perhatian kerajaan dan seluruh rakyat mengenai apa sebenarnya berlaku dalam sektor kerajaan selama ini yang perlu diperhalusi dan dikaji bagi menghasilkan sebuah pengurusan baik dan berkualiti.

Apa dapat dirungkai daripada semua perdebatan, saya ingin memperkatakan bahawa pegawai PTD begitu gah mempertahankan bahawa mereka berkaliber dalam pengurusan kerajaan dan tidak bagi skim lain selepas mendapat Diploma Pengurusan Awam selama enam bulan, sedangkan tidak pernah diadakan penilaian antara skim, siapa yang hebat dalam pengurusan. Mereka begitu berkuasa membuat apa saja dalam sektor kerajaan dan tidak hairan, jawatan tertinggi kerajaan hanya dimonopoli PTD. Jawatan ini dibuka kepada skim lain hanya di atas kertas putih dan bukannya dinilai berdasarkan kemahiran, kepakaran, dan kehebatan pelbagai skim, tetapi dinilai hanya antara PTD.Kalau itu caranya, mana mungkin skim lain boleh menduduki posisi itu dengan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah? Mana mungkin semua sektor hanya diurus dan dikuasai oleh PTD.

Cuba kita perhalusi, pada zaman persekolahan dan pengajian tinggi, kejayaan anak Malaysia hari ini jika ditanya pelajar cemerlang, tidak pernah bercita-cita menjadi PTD, tetapi mereka bercita-cita mencari kerjaya khusus seperti doktor, jurutera, guru, peguam, teknologi maklumat dan pelbagai lagi.Malangnya, mereka cemerlang ini tidak berpeluang mentadbir jentera kerajaan hari ini kerana peluang mereka ditutup dengan dasar yang direka PTD. Peluang ini akan hanya diperoleh PTD yang rata-rata datangnya daripada mereka berkelulusan pengurusan, ekonomi dan sastera. Kenapa negara merugikan peluang menggunakan pelajar cemerlang untuk mentadbir sektor kerajaan dan diserahkan sepenuhnya kepada PTD? Tidak pernah dibuktikan bahawa seorang doktor, peguam, jurutera, guru dan lain-lain tidak hebat dalam pengurusan. Mengapa hari ini, ramai pekerja mahir yang belajar di luar negara tidak mahu pulang ke negara dan memberi sumbangan kepada negara? Jawapannya kerana kerjaya mereka menjadi terhad disebabkan dasar yang direka PTD.

Itulah realiti yang berlaku dalam sektor kerajaan hari ini dan perlu dikaji serta dirombak sepenuhnya.Golongan pendidik dan pegawai skim lain bukanlah mementingkan diri sendiri dan mengutamakan pangkat semata-mata, tetapi jika pengurusan dalaman sektor kerajaan itu sendiri tidak adil, bagaimana semua orang mampu membuat kerja dengan baik? Cubalah lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam sektor kerajaan. Kaji dan selidiklah secara mendalam dengan mendapatkan kenyataan setiap skim perjawatan dan bukannya hanya mendapat maklum balas daripada PTD.

Saya yakin, jika kajian apa yang berlaku dalam sektor kerajaan hari ini diperhalusi, semua orang akan terkejut dengan hasilnya dan akan tahu apa yang PTD lakukan selama ini. Skim lain amat mengalu-alukan supaya kajian dibuat terhadap apa sebenarnya berlaku dalam pengurusan sektor kerajaan kerana selama hari ini skim lain tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan kekuasaan PTD.Alhamdulillah, NUTP memulakan langkah dan mungkin inilah masanya pintu penyelesaian kepada pergolakan. Skim lain akan bersama NUTP kerana kami menyedari apa yang berlaku dalam sektor kerajaan.

PEGAWAI SKIM F,Putrajaya.

Penolakan PTD dari perspektif Politik

Mungkin untuk sekadar renungan dari sudut politik. Tetapi kebenarannya mungkin boleh dipertikaikan lagi. Tetapi saya just pastekan disini sekadar memberi penghormatan kepada golongan politik yang melihat isu ini dari perspektif mereka sendiri.


PAS tolak cadangan Kementerian Pelajaran lantik PTD ke JPN
Anis Nazri Tue Apr 03, 07 06:56:01 PM
KUALA LUMPUR, 3 Apr (Hrkh) - Meskipun cadangan yang dibuat Kementerian Pelajaran untuk melantik Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mendapat tentangan keras termasuk dari kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, namun dalam isu itu kerajaan hingga kini masih tidak memperdulikan bantahan yang buat semua pihak.


Malah cadangan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk melantik PTD ke dalam JPN itu dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersendiri untuk mengunakan guru-guru sebagai alat politik mereka.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataannya mengenai isu itu menegaskan tindakan itu memperlihatkan kerajaan menafikan keupayaan guru untuk memegang jawatan yang tinggi dalam JPN.
Tambah beliau, secara tidak lansung tindakan itu tidak wajar dan akan menjejaskan profesionalisme guru sebagai pendidik dan pentadbir pendidikan.
"Walaupun tindakan ini beralasan untuk memperbaiki bidang pentadbiran dan pengurusan JPN, PAS melihat ia sebagai alat untuk mempergunakan guru-guru tersebut," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.


Justeru, Kamarudin menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran menarik balik cadangan tersebut, sekaligus mengkaji semula kewajaran penstrukturan itu yang pastinya akan menggugat masa depan 350 000 guru di negara ini.
Dalam pada itu, PAS menyeru kepada guru-guru dan pelbagai pihak agar menjaga nama baik guru sebagai pendidik yang profesional dan tidak membenarkan diri mereka menjadi alat politik kepada mana-mana parti politik, demi masa depan pelajar-pelajar yang dididik./wann



Berikut pula disertakan adalah komen-komen pembaca, berkaitan daripada artikel diatas:

Komen 1

Guru bentuk PTDDihantar oleh Apeng, on 05-04-2007 09:00

Guru-guru yang berpengalaman sememangnya layak untuk menjalankan tugas pentadbiran termasuklah kewangan, pemerolehan dan sebagainya. Ramai guru yang mempunyai kelayakan sebegitu. Masalahnya... guru-guru itu tidak dilantik menjadi pentadbir. Sebab banyak sangat unsur politik yang bergaul dalam profesion ni maka banyaklah guru yang dilantik mentadbir tidak mempunyai kelayakan yang sepatutnya. Masalah mula timbul dalam sistem pentadbiran ekoran daripada lantikan yang ntah apa ntah tu... Tidak timbul soal lantik PTD mentadbir bahagian tertentu atau unit tertentu. Yang pasti guru juga pernah membentuk PTD menjadi seorang yang berilmu dan guru hari ini semuanya dah jadi macam pentadbir, kerani, penjual dan mangsa ejekan. Bukan kerana salah guru besar atau pengetua tetapi salah kepala yang mengemudi kementerian yang ikut sedap kepala je nak ubah itu dan ini sesuka hati...

Komen 2

PTD oh...PTd...Dihantar oleh badaitimur, on 04-04-2007 16:08

sama ada guru atau PTD,sama ja. perlu kpd duit.klu diberi peluang naik pangkat,pasti guru nak PTD pun nak. isu ikhlas atau tak itu isu lain. mencari rezeki halal itu wajib. klu ada ada ruang semua orang nak dapat rezeki lebih.ada berniaga sambilan, buat mcm2 kerja sampingan.semata2 nak dpt duit lebih demi anak isteri dll. antara cara nk dpt rezeki lebi skt ialah dgn naik pangkat. ayahsaya menjadi guru lebih kurang 20 tahun.skrg DG48.mula gred 41,44,48 dan seterusnya.PTD mula 41 utk naik ke 48 tak sampai 10 tahun. di mana adilnya?semua org tahu,penjawat awam sektor guru lah paling susah nak naik pangkat.ditambah lagi skrg penilaian tahap kecekapan (PTK) juga faktor pntg utk naik pangkat/gaji. PTD cari la ruang lain utk tingkatkan profesionalisme mereka tu.belambak lagi sektor lain. PTD pegang pengurusan di JPN,bimbang ada mlsh lain pulak nnt.sebab hanya guru yang memahami mslh guru.

Komen 3

kembali kpd asasDihantar oleh zack, on 04-04-2007 16:03

Allah mengingatkan kita supaya menyerahkan tugas kepada yg Ahli,jika tidak maka musibah yg akan melanda. Tgk shj skrg ni pelbagai masalah timbul sbb pemimpin yg meneraju pucuk pimpinan tidak berkebolehan dan melantik penasihat berdasarkan kekuatan bodek & ampu. Mmg mengurus itu bkn bidang tugas guru ttp pengurusan hal pendidikan adalah tugas guru. Siapa kata guru x mahir mengurus sedangkan dah 50thn merdeka siapakah yg mengajar mereka yg memakai jawatan besar di jabatan kerajaan sekarang. Adakah pengurus ladang sawit yg menguruskan mereka semua drp darjah 1~SPM dan membantu mereka merancang masa depan sehingga memegang jawatan tinggi tersebut. Dasar kacang lupakan kulit, bila dah berkuasa dgn sewenangannya menyatakan guru x tahu mentadbir. Masalah sekarang terlalu banyak tangan2x kotor yg mengganggu guru-guru dlm menjalankan tugas mereka. Kembalikan semula kuasa guru sebagaimana thn 80an. Guru boleh merotan dan menguatkuasakan disiplin di sekolah. Ini tidak dok sibok nak rotan mat rempitlah ttp nak rotan pelajar di sekolah tak boleh..........nak melentur biar drp rebung cik ooiii....bkn dah jadi buluh, kalau PTD menguruskankan JPN maka jadilah PEMBELAJARAN TANPA DASAR dan JPN menjadi Jabatan Politik Negeri. Pepatah Cina menyatakan Ikan busuk drp Kepala. Maka kekusutan sistem pendidikan ini bermula dgn MENTERI dan KEMENTERIANNYA. Dasarnya yg tak Jelas takkan nak disalahkan pelaksana dasar yg telah pincang. Dah tersesat kembalilah ke pangkal Jalan. Jgn malu-malu wahai Pengarah Pendidikan Malaysia.

Wednesday, April 4, 2007

Beri saja latihan seakan DPA kepada skim Pengurusan dan Profesional

Akhbar utusan hari ini menyiarkan SMS dan Emel bantah dan juga sokong kemasukan PTD ke JPN. Saya petik daripada utusan tentang modul latihan yang diberikan kepada bakal PTD dalam kursus DPA. Modul ini telah dihantar oleh seorang M41 yang menyokong kemasukan PTD ke JPN.

"Pegawai Tadbir Diplomatik telah dilatih secara intensif melalui Diploma Pengurusan Awam dengan pendedahan kepada pelbagai bidang seperti Pengurusan Organisasi dan Sumber Manusia, Hal Ehwal Antarabangsa, Kewangan, Perolehan dan Pembangunan, Undang-Undang, Pengurusan Acara, Protokol dan Etiket Sosial, Ekonomi, Pentadbiran Tanah dan Daerah, Keselamatan Negara, Teknologi Maklumat dan banyak lagi, termasuk latihan teori dan praktikal di Maktab Polis Kuala Lumpur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Outward Bound School Lumut dan juga Institut Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Kubu Baru. PTD juga sepanjang tempoh latihan telah diserapkan dengan pelbagai budaya positif serta profesional, termasuklah penanaman sifat-sifat murni dan berintegriti."

Baiklah, ini adalah pandangan saya. Daripada jumlah skim perkhidmatan awam yang saya nyatakan sebelum ini, (sila rujuk post saya yang pertama), hanya skim B (bakat dan seni), R (mahir/separuh mahir), X (penguatkuasa maritim), Y (polis) dan Z (tentera) sahaja tidak tergolong dalam skim Pengurusan dan Profesional. Ini bermakna skim-skim lain telah dinyatakan oleh DASAR sebagai layak untuk mengurus dan mentadbir. PTD tidak boleh menafikan ini. Berapa puluh ribu duit rakyat telah dihabiskan untuk membuat dasar ini maka seharusnya PTD mesti menerima hakikat bahawa skim lain juga layak mengurus dan mentadbir.

Cuma persoalannya, kenapa PTD selalu membangkitkan isu mereka mendapat latihan yang "cukup sempurna" iaitu DPA dan menjadikan mereka "ultra" didalam perkhidmatan awam?
Tidak bolehkah mereka yang tergolong dibawah skim Pengurusan dan Profesional ini mendapat latihan sama seperti PTD, dengan menggunakan modul dan teknik yang sama serta tempoh yang sama dan juga memperolehi DPA yang sama taraf apabila sampai masanya untuk dinaikkan pangkat? Dengan ini tidak timbul isu siapa yang pandai mengurus atau tidak. Tambahan lagi mereka yang sudah sampai masa untuk diberi tanggungjawab yang lebih tinggi dalm kes ini guru, sudah mempunyai pengalaman yang lama dalam selok belok pendidikan negara. Ditambah lagi dengan kemahiran pengurusan yang boleh dibuat sama seperti DPA menjadikan mereka lebih-lebih terlayak daripada PTD yang tida pengalaman langsung itu.


Maka jelaslah agenda PTD hanyalah untuk meluaskan empayar mereka demi kenaikan pangkat yang cepat. Mereka akan terus mengejar pangkat itu demi kepentingan diri dan PTD sahaja tetapi bukan untuk negara dimasa yang sama mengambil kesempatan diatas kelemahan orang lain. Percayalah masih ramai PTD di luar sana yang masih berlegar-legar mencari tempat yang boleh diduduki dan ketua mereka sedang memerah buah fikiran bagaimana dan dimana untuk menyelitkan PTD Junior ini!

Tuesday, April 3, 2007

Kesatuan Guru Sebulat Suara Tolak PTD

Akhbar sekarang ini sedang memainkan isu PTD vs JPN. PTD kelihatan sedang berusaha untuk mendapat tempat di JPN manakala pihak JPN bertungkus lumus mempertahankan hak guru-guru. Dalam kekalutan tersebut muncul pula CUEPACS yang nyata lebih berpihak kepada pihak guru. Nampaknya bukan sekali PTD ditolak oleh kesatuan guru. Sebelum ini pun pernah terjadi begitu. Malah bukan sahaja kesatuan guru yang cuba mengekang pencerobohan PTD tetapi mereka yang berada dibidang perkhidmatan perubatan juga pernah menyuarakan pendapat yang sama ketika PTD cuba membuat provokasi melalui media massa untuk memasuki sektor perubatan seketika dahulu. Terdapat juga silent protes terhadap PTD yang menceroboh skim J di JKKP, KSM yang mana perlantikan TKP dari golongan PTD dilihat mencantas perjalanan karier J yang sememangnya lebih parah lagi berada dalam skim perkhidmatan tertutup (close service) di Jabatan berkenaan. Jadi cuba bayangkan bagaimanakah skim J close service ini terpaksa menunggu bertahun tahun malah puluhan tahun untuk beranjak satu tangga keatas sahaja berbanding PTD yang melonjak 2 tangga dalam tempoh 5 tahun! Amat tragis!

Seharusnya mereka yang terlibat secara langsung dengan dasar-dasar PTD cuba merenung apa yang tidak kena dengan dasar mereka. Mereka seharusnya melihat dan mempersoalkan mengapa skim mereka tidak disukai ramai. Adakah ia berpunca daripada dasar itu sendiri atau corak pentadbiran PTD ataupun faktor dikalangan individu itu sendiri? Perbincangan terhadap iu-isu ini haruslah berlandaskan kepada fakta dan konklusi yang tepat supaya semua akan dapat manfaat daripadanya.

Tidak perlu diperbincangkan sama ada seseorang itu dapat menjadi pengurus yang baik dari segi pentadbiran, kewangan dan sebagainya melalui ilmu yang ada pada diri masing-masing. Kebolehan boleh jadi objektif dan kadangkala subjektif. Sebagai contoh ada orang yang mengambil jurusan perniagaan dan lulus dengan cemerlang tetapi rugi dalam perniagaanya. Ini adalah fakta. Ada orang yang hanya kelulusan SPM tetapi menjadi jutawan. Ini pun adalah fakta. Bill gates adalah seorang yang gagal dalam pelajaran tetapi amat berjaya dalam perniagaan dan menjadi pengurus, pentadbir, tokeh, boss, dan lain-lain kepada beratus pejabatnya. Fakta yang sahih.

Oleh itu kenapa harus diperdebatkan seorang guru tidak mampu menjadi seperti seorang PTD. Jika PTD dilatih untuk mentadbir, tidak bolehkah guru diberi latihan seperti mana PTD bagi mencapai matlamat untuk mentadbir tersebut. PTD pun hanya menjalani latihan 6 bulan sahaja. Tidak semenstinya malah mustahil untuk menjadi seorang pentadbir yang baik dengan hanya 6 bulan tersebut. Jadi guru-guru yang difikirkan layak dan memenuhi syarat untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi bolehlah diberi latihan seperti PTD. Ini jika PTD itu memikirkan bahawa latihan atau asuhan itu yang menjadikan mereka seorang yang perfect. Selesai masalah bukan? Advantage lagi ialah guru-guru yang dah ada pengalaman dan ditambah pula dengan kursus 6 bulan sebijik macam PTD. Itu sudah lebih tinggi darjatnya daripada PTD yang hanya 6 bulan berkursus dan tiada pengalaman mengajar? Bukan begitu? Sememangnya begitu.

Kesimpulannya janganlah menafikan hak orang lain yang berkebolehan untuk mentadbir. Percayalah bukan PTD sahaja yang mampu mentadbir. PTD juga banyak kelemahannya. Jika tidak, sektor kerajaan tidak akan sinonim dengan kelembapan mentadbir dan birokrasi serta ketidakcekapan penyampaian. Mayarakat tidak pula berkata sektor perguruan lembap!!

Monday, April 2, 2007

Guru Tolak PTD

Tahniah kepada para guru-guru kita (termasuk bekas guru) kerana bersatu dan sedar akan bahayanya dengan kemasukan PTD ke dalam organisasi mereka. Kekhuatiran guru-guru ini ada asasnya.

Ini berdasarkan kepada iltizam PTD itu sendiri untuk memastikan agenda-agenda mereka tercapai. Ini dapat dilihat apabila pengurusan di peringkat kementerian telah tetap dimonopoli oleh para PTD. Cuba selidiki setiap kementerian... tidak ada yang layak untuk duduk di kerusi pengurusan atasan kementerian jika anda bukan PTD walaupun anda telah 30 tahun berkhidmat di kementerian tersebut. Orang lain yang tidak tahu apa-apa akan masuk dan menjadi ketua anda.

Memandangkan agenda menguasai kementerian telah tercapai, langkah seterusnya ialah dengan mencari jalan untuk memperluaskan empayar. Perluasan empayar di Kementerian Kesihatan telah dijalankan.Perluasan empayar yang terdedah di media ialah melalui JPN. Golongan ini melihat bahawa terdapat peluang untuk menguasai bidang pelajaran dan mahu memulakannya dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

Ini hanya merupakan langkah pertama, langkah seterusnya ialah melalui peringkat daerah (PPD). Jika ini berlaku, para guru-guru yang berjumlah ratusan ribu itu tentu akan kehilangan peluang kenaikan pangkat memandangkan jawatan tersebut akan diisi oleh PTD. Sudahlah para guru nak naik pangkat terpaksa menunggu 10 tahun (dan lebih) kini terpaksa pula menyerahkan jawatan tersebut kepada orang lain bagai melihat tikus membaiki labu.

Walaubagaimanapun, isu ini diharap membuka mata kerajaan agar menyemak semula sistem dan struktur perjawatan di perkhidmatan awam secara keseluruhannya.